AM > BERITA

56 AED Ditempatkan Di Bangunan Kerajaan, Sedia Rawatan Awal Kes Kecemasan Jantung

25/02/2025 06:40 PM

SHAH ALAM, 25 Feb (Bernama) -- Sebanyak 56 alat defibrilator luaran automatik (AED) ditempatkan di bangunan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan anak syarikat seluruh Selangor dalam usaha meningkatkan keupayaan menangani kecemasan serangan jantung di peringkat awal.

Menteri Besar Datuk Amirudin Shari berkata inisiatif melibatkan peruntukan RM492,000 itu antara langkah proaktif kerajaan memastikan bantuan kecemasan awal dapat disediakan kepada mereka yang memerlukan khususnya di tempat awam yang sentiasa dikunjungi rakyat.

“Ini amat penting untuk kita mengatasi kejadian kecemasan serangan jantung sekiranya berlaku di tempat awam yang selalunya dikunjungi oleh ramai orang,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan AED di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini. 

Amirudin ketika ditemui pemberita selepas itu memaklumkan alat berkenaan dibekalkan Worldwide Medivest Sdn Bhd iaitu anak syarikat Worldwide Holdings Berhad dengan kos lebih rendah berbanding harga pasaran.

Beliau berkata syarikat itu terlibat dalam menghasilkan alatan kesihatan selain turut menyediakan latihan kepada setiap jabatan untuk memastikan alatan yang dibekalkan dapat digunakan secara terlatih. 

Dalam pada itu, Amirudin berkata operasi ambulans Kita Selangor dijangka beroperasi bermula Jun depan melibatkan empat pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Diraja Klang, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Subang Jaya. 

“Untuk ini kita menyediakan RM1 juta sahaja, tapi kos keseluruhan mungkin besar. Kita sedang aturkan dengan pihak berkuasa tempatan selain berbincang dengan pengendali ambulans swasta untuk dapatkan harga serta perkhidmatan terbaik.

“Ia bagi membolehkan perkhidmatan itu diselaraskan nanti dengan sistem seperti Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan sebagainya supaya dapat menyediakan ekosistem rawatan kecemasan awal yang cekap dan cepat, dengan inisiatif ini juga akan diperluaskan ke kawasan lain secara berperingkat," katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin dalam ucapannya berkata kerajaan negeri akan membangunkan garis panduan sebagai asas bagi memperluaskan penggunaan AED ke kawasan awam serta lokasi bersesuaian di seluruh negeri.

Beliau berkata garis panduan itu akan dimuktamadkan tahun ini untuk memastikan usaha berkenaan dapat diteruskan dengan lebih meluas dan sistematik.

“Bagi memastikan kaedah pelaksanaan yang menyeluruh, kerajaan negeri juga sedang mengkaji cadangan pemakaian pelaksanaan pemasangan AED ini di kawasan pembangunan baharu dan sedia ada, sebagai usaha menyediakan persekitaran yang selamat dan sejahtera untuk warga Selangor.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan