BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM > BERITA

Peruntukan MP Pembangkang: Kerajaan Setuju Tubuh Jawatankuasa Perhalusi Cadangan

26/02/2025 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi membincangkan sebarang cadangan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Fadillah yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata penubuhan jawatankuasa itu perlu bagi meneliti sebarang cadangan daripada pembangkang bagi menyelesaikan isu berkenaan secara lebih konsensus dan menyeluruh.

Beliau berkata setakat ini, hanya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang datang bertemunya untuk berunding dalam isu berkenaan.

“Sebab kerajaan ini kita terpaksa ada konsensus, jadi konsenses itu perlu kita dapatkan, tapi tak perlu bawa ke media nanti kita bincang siapa-siapa yang nak bincang kita bincang.

“Saya perlu halusi segala cadangan sebab walaupun banyak cadangan dikemukakan oleh Syed Saddiq tapi dia nak mewakili pembangkang … tapi dia hanya mewakili diri sendiri sebab pembangkang sudah ada ketua pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) jadi kita kena lihat keseluruhan,” katanya.

Beliau  yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) di sini hari ini.

Sebelum ini, Syed Saddiq berkata beliau sudah lima kali mengadakan rundingan dengan Fadillah seperti yang dinasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim namun tiada perkembangan positif sehingga ke hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata sehingga hari ini tiada pertemuan yang diadakan antara beliau dan ketua pembangkang.

“Kalau dari segi peruntukan, dulu juga pembangkang yang mengatakan dia orang tak nak berunding, dia orang tak setuju apa semua.

“Sebab itu saya kata tak ada perundingan, yang ada Syed Saddiq memang saya menerima cadangan daripada dia yang lain tak ada … apa kita nak buat,” katanya. 

Semalam, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa tidak pernah ada sebarang syarat yang menetapkan Ahli Parlimen pembangkang perlu menyokong beliau bagi mendapatkan peruntukan.

Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menolak draf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan