AM > BERITA

Program Jualan Agro MADANI Rekod Nilai Jualan RM3.64 Juta Tahun Lepas Di Perak

26/02/2025 09:19 PM

IPOH, 26 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah melaksanakan 459 program Jualan Agro MADANI di negeri ini dengan nilai jualan sebanyak RM10.9 juta sepanjang tahun lepas. 

FAMA dalam kenyataan memaklumkan program yang diadakan di pelbagai lokasi tumpuan penduduk, premis kerajaan dan kawasan perumahan itu telah melibatkan 7,373 usahawan serta memberi manfaat kepada 240,00 pengunjung.

Menurut FAMA program jualan itu memberikan diskaun penjimatan hingga 30 peratus bagi produk makanan segar serta barangan keperluan asas lain. 

"Program ini bertujuan meningkatkan kebolehdapatan dan ketersediaan bekalan makanan selain memastikan harga yang lebih mampu milik bagi pengguna.

"Selain itu, program jualan ini turut berperanan sebagai mekanisme kawalan harga pasaran dalam situasi lebihan hasil pertanian sekali gus membantu kestabilan ekonomi petani dan pengeluar tempatan," menurut kenyataan itu. 

Dalam pada itu, FAMA turut menganjurkan program jualan tersebut di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak hari ini yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad serta beberapa exco kerajaan negeri.

Antara komoditi yang ditawarkan ialah ayam, ikan, daging, buah-buahan, sayur-sayuran, barangan kawalan, serta keperluan runcit harian khusus untuk petugas pejabat serta penduduk setempat yang dapat membelinya pada harga lebih berpatutan.

"FAMA menganggarkan nilai jualan di SUK bagi sesi ini mencecah RM60,000 dan berhasrat untuk menganjurkan program ini secara bulanan di lokasi yang sama.

"Diharapkan program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat dan memberi impak positif kepada ekosistem bekalan makanan di negeri ini," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan