AM > BERITA

Pelupusan Tanah Broga Ikut Prosedur, Tidak Libatkan Kerugian - PKNS

26/02/2025 07:09 PM

SHAH ALAM, 26 Feb (Bernama) -- Pencairan aset tanah di Bukit Broga, Semenyih kepada syarikat Sutera Maya Resources Sdn Bhd pada 2023 dilaksanakan secara telus serta mengikut prosedur yang menjamin kepentingan semua pihak terpelihara.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam satu kenyataan menjelaskan pencairan aset itu telah dilaksanakan tanpa sebarang kerugian, sejajar dengan nilai pasaran yang ditetapkan berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Agensi itu menegaskan setiap transaksi pelupusan aset dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan mematuhi prinsip tatakelola tadbir urus korporat yang baik malah setiap transaksi akan diaudit oleh Jabatan Audit Negara selaras dengan prinsip pengurusan yang bertanggungjawab.

"PKNS juga ingin menegaskan bahawa proses pelupusan tanah ini telah dilaksanakan secara telus dan berlandaskan prosedur yang ditetapkan bagi memastikan kepentingan semua pihak terpelihara.

"Sebarang dakwaan yang menyatakan pelupusan aset ini dilakukan di bawah nilai pasaran semasa adalah tidak berasas," menurut kenyataan itu.

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika berucap pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor mendakwa PKNS berdepan kerugian besar selepas menjual plot tanah Broga di Semenyih pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa.

Menurut PKNS, pencairan aset tanah Bukit Broga juga adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang agensi itu untuk memperkukuhkan perniagaan teras serta memberi tumpuan kepada projek pembangunan yang lebih berimpak tinggi dan bermanfaat kepada rakyat Selangor.

PKNS juga menafikan tanah Broga sebagai tanah strategik sebagaimana yang didakwa sebaliknya tanah tersebut bukan aset strategik untuk pembangunan disebabkan beberapa faktor utama yang membataskan potensinya.

Menurut agensi itu, tanah Broga turut merangkumi tanah yang tidak boleh dimajukan termasuk kawasan hutan simpan, tanah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), kawasan cerun kritikal tahap tiga dan empat serta kolam yang membataskan potensi pembangunan selain berdepan isu pencerobohan dan kewujudan struktur binaan haram di atas tapak.

"Oleh itu, adalah tidak wajar untuk menganggap tanah Broga sebagai aset strategik, memandangkan pelbagai kekangan fizikal dan perundangan yang membelenggu tanah tersebut,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan