AM > BERITA

PERKESO, Carsome Lancar Tiga Inisiatif Tingkat Kemahiran Pencari Kerja

26/02/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Carsome melancarkan tiga inisiatif baharu bagi menangani jurang mobiliti dan kemahiran dalam kalangan pencari kerja.

Menurut kenyataan bersama Perkeso dan Carsome, inisiatif yang diperkenalkan ialah program My First Car, Kempen Pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan Program Peningkatan Kemahiran SIP.

Program My First Car menyasarkan graduan yang berdaftar dengan MYFutureJobs yang ingin membeli kenderaan pertama mereka manakala Kempen SIP menawarkan diskaun RM3,000 serta bonus tukar beli (trade-in) kepada penerima SIP.

“Komponen akhir kerjasama ini ialah Program Peningkatan Kemahiran SIP yang memanfaatkan Akademi Carsome untuk menyediakan latihan automotif serta penempatan pekerjaan, memastikan individu dilengkapi kemahiran relevan bagi pasaran kerja,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam membantu rakyat Malaysia memperoleh pekerjaan yang bermakna.

“Menerusi sokongan sosial Perkeso dan kepakaran industri Carsome, kerjasama ini mewujudkan laluan mampan ke arah mendapatkan pekerjaan dan pertumbuhan kerjaya jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Carsome, Teoh Jiun Ee berkata kerjasama ini membolehkan pihaknya memanfaatkan bakat baharu dalam sektor automotif serta membantu individu membina kemahiran yang diperlukan untuk berkembang dalam industri yang pesat membangun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan