AM > BERITA

Mohamad Hasan Adakan Kunjungan Hormat Ke Atas Presiden Iran Di Tehran

27/02/2025 12:22 AM

TEHRAN, 26 Feb (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian hari ini.

Mohamad, yang dalam lawatan rasmi pertama selama tiga hari ke Iran dari 25 hingga 27 Feb, disambut Pezeshkian di pejabat beliau di Pasteur Street, di sini, kira-kira 5.30 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia). 

Kedua-dua pemimpin meluangkan masa kira-kira 30 minit membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia-Iran selain isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama, khususnya situasi di Palestin dan hal berkaitan Timur Tengah.

Kunjungan hormat itu diadakan selepas Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Iran (JCM) ke-8 dengan rakan sejawatnya Seyyed Abbas Araghchi.

Pada 2024, Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion (USD0.57 bilion), peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding 2023. 

Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara anggota ASEAN dan yang ke-19 terbesar di dunia pada 2023.

Pada 1970, Malaysia membuka kedutaannya di Tehran, manakala Iran membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1981.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan