KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Converse Malaysia (Converse MY) dengan kerjasama Balai Seni Negara, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Malaysian Institute of Art (MIA) melancarkan inisiatif‘Creative Exploration bagi memperkasa bakat seni muda negara.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Balai Seni Negara hari ini disempurnakan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Shamsul Iskandar berkata kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam memperkasakan budaya seni akar umbi serta memajukan ekosistem seni kreatif tempatan selaras dengan prinsip MADANI.
“Seni bukan sekadar ekspresi, tetapi juga satu bentuk komunikasi yang dapat menyatukan masyarakat dan memperkayakan budaya kita.
“Saya difahamkan aktiviti Converse kali ini adalah satu inisiatif yang sangat baik, bukan sahaja sebagai platform pendedahan kepada bakat-bakat seni muda, tetapi juga sebagai peluang kepada pengamal seni yang lebih senior untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program itu di sini hari ini.
Shamsul Iskandar percaya pada masa akan datang, lebih ramai pelajar dari universiti-universiti seluruh Malaysia dapat turut serta, sekali gus menjadikan platform itu lebih inklusif dan berdaya saing.
Menerusi inisiatif Creative Exploration ini, pelajar seni akan menghasilkan karya kreatif pilihan masing-masing dengan menggunakan kasut jenis Chuck Taylor daripada jenama Converse sebagai bahan utama.
Hasil seni tersebut akan dipamerkan di Art Depot, Balai Seni Negara bermula 28 Feb hingga 12 April, sebelum karya terpilih diperagakan di cawangan utama Converse di sekitar Lembah Klang.
Selain itu, Creative Exploration turut membantu meningkatkan kedudukan Balai Seni Negara sebagai hab seni kontemporari serta mempromosikan UiTM dan MIA sebagai institusi yang melahirkan bakat seni kreatif berkualiti.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kempen global LOVE, CHUCK, yang menggabungkan dunia fesyen dan seni bagi meraikan kreativiti tanpa batas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial