AM > BERITA

PJRM@Pasar Peringkat N. Sembilan Tawar Diskaun 30 Peratus Hingga Esok

01/03/2025 08:31 PM

SEREMBAN, 1 Mac (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI@Pasar (PJRM@Pasar) peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung semalam hingga esok, menawarkan harga barangan keperluan dengan diskaun sebanyak 30 peratus.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata bersempena dengan Mantai Puasa, PJRM turut diadakan di 49 lokasi terpilih bagi memeriahkan persiapan Ramadan.

Beliau berkata PJRM kali ini dilaksanakan dalam premis, luar premis dan bergerak.

“Contohnya di PJRM@Pasar Ampangan ini, lima peniaga ayam, dua peniaga daging, dua peniaga ikan, dan dua peniaga sayur-sayuran menjual barangan dengan harga murah.

"Pelaksanaan PJRM@Pasar di negeri ini dijangka diteruskan dengan melibatkan pasar-pasar terpilih dari tujuh daerah dalam negeri sepanjang tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Zahir berkata barangan ditawarkan kepada pengunjung seperti daging lembu tempatan bertulang yang dijual pada harga RM25 hingga RM28 sekilogram.

Beliau berkata pelbagai barangan keperluan utama semasa Ramadan turut dijual termasuk beras pulut, ketupat, santan, dan lain-lain.

"KPDN negeri juga bercadang meneruskan momentum PJRM ini, dengan  pelaksanaan PJRM bersempena dengan Mantai Raya berdasarkan sambutan dan maklum balas positif diterima daripada pengunjung. 

"Kita mempelawa seluruh rakyat untuk terus menyokong inisiatif kerajaan MADANI melalui Payung RAHMAH ini dengan mengunjungi dan berbelanja di lokasi PJRM yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai Program Jualan RAHMAH MADANI peringkat negeri ini, termasuk lokasi, tarikh, dan masa, boleh didapati menerusi Facebook KPDN Negeri Sembilan, akaun Instagram serta TikTok.

Sementara itu, Muhammad Zahir meminta orang ramai menyalurkan aduan atau pertanyaan kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my,  talian pusat panggilan 1-800-886-800 dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan