AM > BERITA

Johor Bangga Kejayaan Pasukan Inovasi Ukir Nama Di Persada Global

02/03/2025 09:46 PM

JOHOR BAHRU, 2 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri menzahirkan rasa bangga atas kejayaan pasukan pendidikan inovasi Johor yang mengukir nama di persada global menerusi penyertaan dalam World Youth STEM Invention Innovation (WYSII) 2025 di Medan, Indonesia pada 23 hingga 27 Feb lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata pasukan itu terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus (IJ) Convent, SMK (P) Sultan Ibrahim, SMK Sultan Ismail dan Sekolah Tun Fatimah di sini serta Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi dan SMK Agama Bandar Penawar di Kota Tinggi dan Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak di Tangkak.

“Saya dengan penuh rasa bangga merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya atas kejayaan luar biasa mereka. Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian biasa tetapi satu manifestasi kecemerlangan anak bangsa Johor yang berjaya mengukir nama di persada global.

“Lebih membanggakan, pertandingan disertai 32 negara dari seluruh dunia itu turut mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai acara Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) antarabangsa, dengan penyertaan paling ramai dari Malaysia iaitu 589 peserta,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata kejayaan itu bukan sekadar trofi atau medal, tetapi inspirasi buat generasi muda untuk mencungkil bakat, mencabar potensi diri dan mengharumkan nama negara serta negeri Johor.

“Semoga ini menjadi pemangkin dalam membangunkan minda inovatif dan melahirkan lebih ramai bakat muda STEM berkualiti di Johor. Tahniah Cikgu Ng Han Guan dari SMK IJ Convent yang berjaya menempatkan diri dalam WYSII International Teacher Awards Top 10, suatu pencapaian luar biasa yang mengangkat martabat pendidik Johor di peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan