AM > BERITA

Perlis Terima Bekalan BPT Bersubsidi, Diagihkan Secara Berperingkat

03/03/2025 03:23 PM

KANGAR, 3 Mac (Bernama) -- Kira-kira 30 tan metrik beras putih tempatan (BPT) bersubsidi yang dihantar ke Perlis pada Sabtu lepas diagihkan di kedai runcit atau pasar raya berlesen di negeri itu secara berperingkat untuk dijual kepada golongan sasar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad berkata bagi mengelakkan pembelian panik, beras yang disasarkan untuk  kegunaan golongan B40 atau miskin itu dihadkan pembeliannya kepada dua kampit setiap keluarga.

"Kita harap masyarakat tidak membuat pembelian panik, beli beras ini seperti biasa untuk memastikan agihan beras ini dapat dinikmati secara sama rata oleh golongan memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan beras itu di sebuah pasar raya di sini hari ini. 

Pada 25 Feb lepas, media melaporkan BPT bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) akan dijual di pasaran bermula 1 Mac dan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Datuk Badrul Hisham Mohd dipetik sebagai berkata penjualan disasarkan kepada 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin termasuk 77,000 KIR miskin tegar.

Razali berkata setakat ini 10 premis termasuk kedai runcit dan pasar raya di negeri itu menerima bekalan beras putih tempatan bersubsidi tersebut.

Beliau berkata mekanisme kawalan dan penguatkuasaan akan diperkukuh melalui pasukan khas terdiri daripada agensi berkaitan untuk memastikan bekalan beras itu betul-betul sampai kepada golongan sasar.

“Beras ini khusus untuk golongan B40 dan miskin, bukan untuk peniaga. Sebab itu, kita ada mekanisme kawalan, termasuk penggunaan kod bar bagi memastikan hanya golongan sasar mendapat manfaat daripada program ini,” katanya.  

Katanya, jumlah penghantaran bulanan bekalan beras itu ke Perlis akan disesuaikan mengikut permintaan semasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan