AM > BERITA

Garis Panduan Baharu Penyediaan RMK13 Tangani Ketirisan, kelewatan Projek - Rafizi

03/03/2025 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah memperkenalkan Garis Panduan Penyediaan RMK13 dan Permohonan Projek Pembangunan 2026-2030 sebagai sumber rujukan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata langkah itu, bertujuan menambah baik dan memperkemas proses pelaksanaan projek pembangunan kerajaan Persekutuan dengan memperkenalkan beberapa pendekatan baharu yang menekankan kawalan kos untuk mengelakkan ketirisan, pembaziran kewangan dan kelewatan projek di seluruh negara.

Beliau berkata pendekatan baharu yang diperkenalkan ialah pemecahan projek pembangunan kepada dua kategori projek belanja pembangunan.

“Kalau sebelum ini semua projek daripada yang sekecil-kecilnya (melibatkan) beberapa juta sehingga projek yang berbillion ringgit, boleh dikemukakan oleh kementerian atau agensi setiap tahun.

“Sekarang ini, kita telah pecahkan bahawa projek bernilai tinggi dengan kos melebihi RM300 juta, permohonan hanya boleh dikemukakan setiap dua tahun sekali bermula untuk Rancangan Boleh Pinda 1 ini dikemukakan antara 1 Mac 2025 hingga 31 Mac 2025,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Rafizi menjawab soalan Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) mengenai langkah penambahbaikan yang akan dilaksanakan kementerian bagi memperkemas proses pelaksanaan projek RMK13, terutamanya untuk mengelakkan kelewatan dan kegagalan projek berkepentingan awam di Sabah.

Beliau berkata sekiranya projek bernilai tinggi tidak dapat dikemukakan dalam tempoh tersebut, ia boleh dikemukakan pada tahun 2027, manakala projek bernilai bawah RM300 juta boleh dikemukakan setiap tahun melalui Rancangan Boleh Pinda seperti biasa.

“Tujuan kita pisahkan begini kerana satu daripada faktor yang menyumbang kepada pelaksanaan projek yang cacamarba ialah kerana perancangan dibuat itu tidak berpadanan dengan saiz projek.

“Kalau perancangan projek-projek besar selalunya 60 ke 70 peratus daripada usaha itu sebenarnya dibuat merancang, apabila perancangan itu dibuat dengan baik maka ia akan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan hanya ambil masa 30 peratus sahaja,” katanya.

Selain itu, Rafizi berkata kementerian juga telah mengeluarkan arahan baharu untuk mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan serta tanah yang terdapat dalam bank tanah yang dikendalikan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

Menjawab soalan tambahan Riduan mengenai situasi peruntukan pembangunan yang tidak digunakan dikembalikan kepada kerajaan Pusat, beliau berkata perkara tersebut memerlukan perbincangan lanjut kerana ia melibatkan Perlembagaan Persekutuan dan rundingan seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Sabah.

Beliau berkata peraturan semasa menghendaki sebarang wang yang tidak dibelanjakan dikembalikan kepada kerajaan Pusat, kerana setiap RM1 daripada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan adalah wang pinjaman.

Rafizi berkata walaupun ada cadangan untuk menyediakan tabung khas bagi menyimpan wang tersebut, kerajaan perlu menanggung bunga pinjaman yang digunakan untuk membiayai belanja pembangunan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan