AM > BERITA

KKM Ambil Langkah Agresif Tangani Isu Inflasi Perubatan

03/03/2025 08:56 PM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil langkah agresif menangani isu inflasi perubatan yang menyebabkan kenaikan premium insurans kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu akan dapat ditangani dalam waktu terdekat.

"Ia sedang dalam tindakan. Kita akan menangani perkara ini bukan dengan pendekatan DRG (kumpulan berkaitan diagnosis), bukannya penyelesaian mutlak yang boleh selesaikan inflasi kos perubatan tetapi lebih mustahak ia akan ambil pendekatan pelbagai hala," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan ke bazar Ramadan Presint 3 dan pelancaran talian WhatsApp aduan kebersihan premis makanan, di sini hari ini.

Dzulkefly berkata DRG bakal dilaksanakan bagi meningkatkan ketelusan caj rawatan pesakit sekali gus membantu mengatasi isu kos perubatan yang menjadi antara punca kenaikan premium insurans perubatan.

"...dan harapnya kita dapat melaksanakan DRG di samping satu lagi iaitu paparan harga ubat-ubatan.

"Di hospital sudah menerimanya, kalau di klinik pengamal perubatan am swasta (GP) mereka mahu diberi moratorium, mungkin sebulan dua lagi," katanya.

Dzulkefly berkata pemaparan harga ubat secara telus boleh membantu mengurangkan harga premium insurans kesihatan dalam mengawal kos perubatan memandangkan syarikat insurans boleh menilai kos sebenar rawatan dengan lebih tepat.

Namun tindakan itu mendapat bantahan Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) kerana berpandangan pelaksanaan paparan harga ubat di klinik GP tidak relevan dan boleh mengelirukan pesakit.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan