AM > BERITA

Petani Di Klebang Rugi RM250,000, Sawah Dicemari Air Masin

04/03/2025 09:04 PM

MELAKA, 4 Mac (Bernama) -- Lapan petani di Klebang kerugian kira-kira RM250,000 selepas sawah mereka dicemari air masin daripada Sungai Malim yang menjadi punca air sawah terbabit.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang Datuk Lim Ban Hong berkata kejadian itu dikesan lebih tiga minggu lepas dan melibatkan 10.12 hektar sawah di sekitar Pulau Gadong serta Stulang Daeng.

Beliau berkata pesawah terlibat terpaksa berhenti menanam padi antara satu hingga dua musim menyebabkan kira-kira 60 tan metrik padi tidak dapat dituai. 

"Bekalan air yang diperoleh untuk tanaman padi di kawasan terlibat dipam dari Sungai Malim namun air sungai berkenaan dipercayai bercampur dengan air laut yang masuk di kawasan empangan.

"Ekoran insiden itu, akar anak pokok padi yang ditanam rosak dan tidak dapat dituai sekali gus menyebabkan kerugian besar kepada pesawah terlibat," katanya kepada pemberita ketika melawat tapak sawah yang terjejas sekitar Pulau Gadong di sini hari ini.

Beliau berkata pesawah mencuba beberapa kaedah termasuk secara tradisional untuk meneutralkan tanah dicemari air masin namun tidak berjaya malah menambah kerugian dari segi modal.

Menurut Lim, beliau merujuk kejadian itu kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada pesawah terlibat termasuk bagi memulihkan tanah di petak padi terjejas.

Dalam pada itu, Lim berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diharap dapat menaik taraf sistem pengendalian pintu empangan di sungai berkenaan yang kini menggunakan cara manual agar dapat membendung kemasukan air laut dengan lebih efisien bagi mengelak inisiden sama berulang. 

Selain itu, katanya pembinaan Projek Skim Pengairan Sawah Padi Bukit Rambai yang menelan kos hampir RM50 juta termasuk kos pengambilan tanah diharap dapat disegerakan bagi menyediakan sistem pengairan lebih sistematik dan bekalan mencukupi untuk kegunaan tanaman terlibat.

"Kalau ikut jangkaan, sistem berkenaan siap dan berfungsi sepenuhnya pada 2027 namun dimaklumkan proses pengambilan tanah sebelum ini mengambil masa dan mungkin menyebabkan projek itu bermula lewat sedikit.

"Sistem pengairan tersebut penting kerana DUN Kelebang merupakan DUN yang mempunyai kawasan pertanian yang terbesar di Melaka iaitu sebanyak 815 hektar melibatkan tanaman padi dan pelbagai sayur-sayuran antaranya di Pulau Gadong, Klebang Besar, Bukit Rambai, Stulang Daeng, Bukit Kecil dan Kampung Pinang.

"Dengan siapnya sistem pengairan tersebut, kita jangkakan tanaman padi dapat diusahakan lima kali dalam tempoh dua tahun sekali gus memastikan keterjaminan makanan dapat dicapai khususnya melibatkan bekalan beras tempatan," katanya.

Sementara itu, pesawah padi Lee Leng Sin, 66, berkata hanya 2.02 hektar daripada keseluruhan 4.05 hektar tanaman padi yang diusahakannya di Pulau Gadong tidak dicemari air masin.

"Ini adalah kejadian paling teruk saya alami sejak usahakan tanaman padi 40 tahun lepas dan setengah daripada tanah di kawasan tanaman tersebut telah rosak...Tahun Baharu Cina pun terpaksa kerja kuat pam air untuk tapak tanaman tetapi tetap tidak berjaya pulihkan keadaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan