AM > BERITA

Rakaman Keterangan Ismail Sabri Esok Ditangguh Atas Faktor Kesihatan - SPRM

04/03/2025 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Rakaman keterangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas perdana menteri itu yang dijadual esok ditangguhkan atas faktor kesihatan.

Menurut sumber, kesihatan Ahli Parlimen Bera itu berada pada tahap rendah dan beliau juga memiliki sijil cuti sakit.

Sehubungan itu, sumber memaklumkan SPRM dijangka merekodkan keterangan bekas perdana menteri kesembilan itu pada 10 pagi Jumaat ini di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan proses rakaman percakapan Ismail Sabri yang dijadualkan esok ditangguhkan dan akan diambil pada hari lain.

Pada 10 Feb lepas, Ismail Sabri telah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Feb.

Semalam, Azam dilaporkan berkata bekas pemimpin itu merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah ‘ safehouse’ susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.

Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta dengan kesemua akaun adalah sah dan aktif.

SPRM sebelum ini telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan