AM > BERITA

Peniaga Bazar Ramadan Di Perlis Diingatkan Titik Berat Aspek Kebersihan

05/03/2025 12:08 PM

KANGAR, 5 Mac (Bernama) -- Peniaga bazar Ramadan di Perlis diingatkan supaya menitikberatkan aspek kebersihan sepanjang menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing, bagi memastikan persekitaran yang kondusif kepada orang ramai.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar Perlis (MPKPs) Affendi Rajini Kanth berkata pihaknya akan memantau tahap kebersihan dari semasa ke semasa sepanjang bulan Ramadan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat peniaga tidak mematuhi peraturan ditetapkan.  

“Saya telah mengeluarkan amaran bahawa jika kawasan bazar tidak bersih, kita akan mengambil tindakan termasuk menarik balik wang deposit,” katanya kepada pemberita selepas sesi jelajah mesra di tapak Bazar Ramadan Kangar petang semalam.

Sementara itu, Affendi berkata setakat ini peniaga di Bazar Ramadan Kangar didapati mematuhi garis panduan ditetapkan, termasuk menjaga kebersihan di tapak bazar itu dengan begitu baik sehingga diiktiraf paling bersih.

“Tinjauan mendapati peniaga di Bazar Ramadan Kangar ini sangat tertib serta menjaga kebersihan. Kawasan ini telah diisytiharkan sebagai bazar paling bersih dan dijadikan contoh kepada bazar lain,” katanya.

Afendi berkata sebanyak 120 lot niaga diluluskan MPKPs bagi kawasan Kangar tahun ini dengan kadar sewaan hanya RM10 sehari, sebagai usaha memastikan harga makanan kekal berpatutan serta mengelakkan campur tangan orang tengah yang berisiko berlaku peningkatan harga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan