AM > BERITA

NAIO Rangka Kawal Selia Adaptasi AI Fokus Etika Dan Keselamatan

05/03/2025 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) sedang membangunkan satu kerangka bagi mengawal selia adaptasi kecerdasan buatan (AI) dengan memberi fokus kepada aspek etika adaptasi berkenaan. 

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata ia bertujuan mengenal pasti perbezaan yang terdapat dalam kerangka sedia ada termasuk isu-isu berbangkit seperti penggunaan AI untuk aktiviti jenayah. 

“Melalui satu daripada keberhasilan NAIO ini, peluang untuk mewujudkan kerjasama rentas kementerian dan badan-badan penguat kuasa (seperti Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia) sama ada dengan pembentukan sektoral penguatkuasaan akan diteliti untuk bersama-sama membantu menangani isu ini.

“NAIO telah membentuk kumpulan kerja yang memfokuskan kepada skop berkaitan seperti Kawal Selia dan Polisi AI, Sekuriti AI dan Keselamatan AI,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu sejauh manakah kerajaan mengaplikasikan kecanggihan teknologi AI untuk menangani kes melibatkan penipuan atau ‘scam’ dalam talian. 

Wilson berkata kumpulan kerja itu terdiri daripada pasukan pakar daripada pelbagai bidang termasuk akademik, pemain industri dan korporat yang dapat menyumbang idea, cadangan dan saranan berkaitan dasar penguatkuasaan, penilaian risiko dan ancaman seperti serangan siber serta penularan maklumat palsu. 

Selain itu, beliau berkata CyberSecurity Malaysia kini sedang giat menjalankan penyelidikan produk teknologi AI seperti pembelajaran mesin bagi membangunkan teknologi yang boleh meningkatkan keupayaan pengesanan dan pencegahan ancaman siber. 

“Dengan kerjasama strategik bersama universiti tempatan, fokus diberikan kepada aspek analitik ramalan untuk landskap ancaman di Malaysia, pengesanan ancaman dalam rangkaian dan pembangunan sistem menggunakan Model Bahasa Raya,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan