AM > BERITA

Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar Bantu Kawal Isu Berkaitan Pemaju

05/03/2025 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dilihat dapat membantu mengawal isu berkaitan pemaju dengan penglibatan kerajaan dalam pembangunan bandar bagi memastikan proses yang lebih teratur.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata RUU itu amat diperlukan kerana ia dapat memastikan segala rundingan dalam pembangunan bandar dilaksanakan dengan lebih teratur dan mengikut prosedur.

“Akta PSB adalah ramuan untuk kita pastikan rundingan dibuat secara tatatertib kerana setiap rundingan kena ada campur tangan kerajaan. Sekarang tak ada akta ini, pemaju boleh buat apa-apa yang dia suka, tapi bila ada akta ini akan ada kawalan, peraturan dan tatatertib.

“Akta ini bukan sahaja untuk pembaharuan semula, ia juga sebenarnya meliputi empat aspek iaitu pembangunan semula bandar, penjanaan semula bandar, penyegaran semula bandar dan pemuliharaan bandar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengenai pemaju tamak dan menggunakan pelbagai kaedah bagi memastikan mereka tidak kerugian dalam pembangunan serta sama ada pemaju mengambil kira syarat warisan budaya dalam pembangunan semula.

Nga berkata dalam pembangunan semula bandar, setiap warisan budaya akan dikekalkan walaupun dinaik taraf supaya lebih berdaya huni dan berwajah baharu, sekali gus menjadikannya sebagai lambang kebanggaan negara.

“Jemaah Menteri baru-baru ini membuat satu keputusan iaitu Khazanah Nasional diberikan amanah dan tanggungjawab untuk melabur RM700 juta bagi memelihara warisan negara termasuk Carcosa Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan pejabat pos lama dan lain-lain untuk pastikan bangunan ini juga dibawa pembaharuan semula,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan