AM > BERITA

Saifuddin Nasution Puji Tindakan Tiga Pengacara Radio Buat Permohonan Maaf

05/03/2025 10:05 PM

PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memuji tindakan tiga pengacara radio Era FM yang membuat permohonan maaf selepas terlibat dengan kontroversi video yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan Hindu.

Beliau berkata walaupun mereka sudah menyatakan permohonan maaf kepada pihak yang tersinggung, proses siasatan tetap diteruskan.

"Kalau satu aduan laporan polis dibuat, menjadi tanggungjawab polis untuk siasat sama ada, ada asas untuk didakwa itu bergantung pada budi bicara Timbalan Pendakwa Raya.

"Soal mereka minta maaf itu merupakan satu perkara yang baik sebab mereka menyedari bahawa ungkapan itu tak patut dikeluarkan atau perbuatan itu tak patut mereka lakukan tapi soalnya adalah damage is done.

“Ia ada kesannya kepada mereka yang tersinggung ataupun terasa mereka itu menjadi sasaran," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni bersama warga Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Dalam konteks hubungan kaum, kepelbagaian agama dan budaya di negara ini, Saifuddin Nasution berkata insiden itu memberi satu pengajaran supaya setiap rakyat di negara ini supaya sentiasa sensitif terhadap agama lain.

"Sementara kita berharap orang lain faham tentang budaya dan sensitiviti agama kita, kita juga kena bersikap begitu barulah hidup dalam rukun damai," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis sedang melengkapkan siasatan terhadap kes video tular tiga pengacara radio itu. 

Beliau kertas siasatan berhubung kes berkenaan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan