AM > BERITA

PM Anwar Beri Peringatan Usah Bakar Sentimen Perkauman

06/03/2025 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada semua pihak, untuk usah menggunakan kesempatan membakar serta mengapi-apikan sentimen perkauman dan menanam bibit kebencian.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri sedar bahawa wujud usaha jahat sesetengah pihak berkepentingan yang cuba menanam persepsi “double standard” dalam mengambil tindakan.

Beliau berkata tuduhan dan persepsi kononnya kerajaan berdiam apabila agama Islam dihina adalah fitnah dan tidak berasas.

“Ini tuduhan liar yang tidak ada asas sama sekali. Sesiapa pun yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa,” katanya menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Tunku Nashrul memberikan contoh antaranya pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap Song yang masing-masing didenda RM10,000 atas kesalahan memuat naik kandungan serta komen bersifat jelik dan menghina agama Islam.

Selain itu, syarikat dan pembekal yang didenda RM60,000 apabila kalimah Allah dipersenda melalui penjualan stokin, isu peniaga jagung bakar yang meletak notis perkauman turut didenda RM400, serta seorang lelaki mempersenda perkataan “Allah”, didenda RM12,000 dan dipenjara enam bulan.

“Dalam kes yang saya senaraikan tadi, jelas semuanya disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum, dan kesemua tindakan tersebut berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada dan setiap kes yang ada punca pelaporan akan melalui jalur proses dan hukum negara.

“Ini mesej yang tegas buat semua rakyat Malaysia untuk menghentikan budaya menghina mana-mana agama, budaya, dan kaum di mana-mana ruang di Malaysia.

“Usah biarkan hal-hal remeh merobohkan kekuatan dan keunikan kita tatkala negara sedang berkembang dan berada pada trajektori yang baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan