AM > BERITA

Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Dibentang Untuk Bacaan Kali Pertama

06/03/2025 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan menubuhkan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, yang membentangkan RUU itu berkata bacaan kedua dibuat pada sidang Parlimen akan datang.

Menurut Naskah Biru di laman sesawang Parlimen, Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat itu akan berfungsi untuk menyelia pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), yang berhubungan dengan kuasa am agensi penguatkuasaan di bawah Seksyen 3.

Penubuhan jawatankuasa itu juga bertujuan untuk memperoleh statistik dan data berhubungan dengan pendedahan dan aduan yang diterima oleh agensi penguatkuasaan mengikut akta berkenaan.

Selain itu, RUU itu juga untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan maklumat sulit di bawah Akta 711 daripada dikemukakan kepada Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat.

RUU itu turut dicadang untuk meminda perenggan 11(1)(a) Akta 711 berhubung dengan sebab yang terpakai bagi agensi penguatkuasaan untuk membatalkan suatu perlindungan pemberi maklumat di bawah Akta 711.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan