Oleh Habsah Ismail
KOTA BHARU, 7 Mac (Bernama) -- Jika dahulu, setiap kali Ramadan restoran terapung milik Mohd Asri Husin menjadi tumpuan pelanggan untuk berbuka puasa dan menikmati colek selepas tarawih, kini ia sepi tanpa pengunjung.
Semuanya berubah sekelip mata sejak banjir besar pada November tahun lepas yang memusnahkan platform restoran terapungnya itu di Cerana Villa Resort di sini.
"Lantai dan bumbung restoran saya rosak teruk dengan anggaran kos baik pulih mencecah hampir RM300,000 dan ia jumlah yang terlalu besar untuk ditanggung.
“Setiap tahun, pelanggan akan tempah awal sebab mereka suka suasana berbuka di atas air. Tapi tahun ini, saya terpaksa tolak semua tempahan. Rasa sedih sangat bila tengok tempat ini kosong,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Asri berkata kesan daripada situasi itu turut menjejaskan operasi resort atau pusat peranginan miliknya.
"Pakej sahur dan tarawih yang sebelum ini menjadi tarikan, kini tidak lagi mendapat sambutan, malah tempahan bilik berkurangan dan lebih menyedihkan, pekerja setempat yang selama ini bergantung pada resort itu terpaksa dilepaskan.
“Biasanya Ramadan paling meriah, kami menyediakan colek istimewa iaitu ayam panggang, perut rebus, paru, makanan laut, colek buah-buahan Kelantan. Sekarang semua itu tidak dapat diteruskan,” katanya.
Lebih menyayat hati, resort yang juga terkenal dengan Pasar Terapung Pelancongan setiap Sabtu kini terpaksa menghentikan operasinya buat sementara waktu.
“Saya harap ada pihak sudi membantu. Tempat ini pernah jadi tumpuan pelancong, sayang kalau terus terbiar,” katanya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial