AM > BERITA

Mediexpress Pilih Prince Court Medical Centre Untuk Program Penyedia Utama

07/03/2025 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Penyedia kemudahan penjagaan kesihatan dan pengurusan rawatan terkemuka di Malaysia, MediExpress, telah memilih Pusat Perubatan Prince Court sebagai hospital pertama bagi Program Penyedia Utama terbaharunya.

Inisiatif berstruktur ini bertujuan meningkatkan akses, kecekapan dan kecemerlangan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk ahlinya.

Ketua Pegawai Eksekutif MediExpress Kenny Tai berkata tumpuan utama Pusat Perubatan Prince Court terhadap pengalaman pesakit, penjagaan peribadi dan kepakaran perubatan bertaraf tinggi selaras dengan nilai syarikat itu.

"Kenaikan kos penjagaan kesihatan menjadi kebimbangan yang semakin meningkat di Malaysia, memberi kesan kepada pesakit dan syarikat insurans kerana akses kepada rawatan berkualiti semakin mencabar akibat peningkatan perbelanjaan perubatan.

"Di MediExpress, kami menyedari isu mendesak ini dan komited untuk mengimbangi kecekapan kos dengan penjagaan kesihatan berkualiti. Kerjasama kami dengan Pusat Perubatan Prince Court adalah langkah strategik ke arah itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tai, melalui kerjasama dengan hospital yang berkongsi visi yang sama, MediExpress dapat menawarkan rawatan berkualiti tinggi yang dipercayai pada kadar mampu milik, sekali gus memberikan ketenangan fikiran kepada ahlinya.

Menjelaskan lanjut, Tai berkata melalui kerjasama ini, ahli MediExpress akan menikmati akses perubatan yang lebih lancar, termasuk pengecualian yuran pendaftaran dan deposit kemasukan, kelulusan yang lebih pantas, pemprosesan Surat Jaminan (GL) yang lebih cepat serta prosedur discaj yang lebih mudah.

Menurutnya, ahli juga akan mendapat manfaat daripada struktur harga yang telus dan tersusun bagi prosedur perubatan utama, sekali gus memastikan kejelasan dan keyakinan terhadap kos rawatan kesihatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Prince Court Dr. S. Shuba, berkata kerjasama ini mengukuhkan misi hospital berkenaan dalam meningkatkan pengalaman penjagaan kesihatan swasta.

"Di Prince Court, kami percaya bahawa menerima rawatan perubatan seharusnya semudah dan sebaik kualitinya. Sebagai Penyedia Utama pertama MediExpress, kami berbesar hati untuk menerajui inisiatif ini, membuktikan bagaimana penjagaan kesihatan yang berstruktur dan berorientasikan pesakit dapat meningkatkan akses, kualiti serta keyakinan kewangan pesakit," katanya

Beliau menambah, dengan menggabungkan kepakaran MediExpress dalam rangkaian pengurusan penjagaan kesihatan bersama keunggulan klinikal Prince Court, kerjasama ini akan mewujudkan model berasaskan kelestarian dan keutamaan pesakit yang memastikan akses lancar kepada rawatan bertaraf tinggi.

"Inisiatif ini mewakili pendekatan progresif dalam penjagaan kesihatan swasta, membentuk masa depan akses pesakit dan penyampaian rawatan. Ia memastikan pesakit menerima rawatan yang tepat pada masa dan dalam persekitaran yang sesuai," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan