AM > BERITA

UNSC56: Amalan Perangkaan Malaysia Pada Standard Global - DOSM

08/03/2025 07:56 PM

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Penyertaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC56) memastikan amalan statistik negara sejajar dengan piawaian global sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap data yang boleh dipercayai dan setanding di peringkat antarabangsa.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata beliau mengetengahkan pencapaian penting Malaysia dalam pembangunan statistik sambil menekankan kepentingan meningkatkan keupayaan teknikal dan melaksanakan inisiatif pembinaan kapasiti untuk menangani cabaran global.

Mohd Uzir mengetuai delegasi Malaysia ke UNSC56 yang diadakan dari 4 hingga 7 Mac lepas di ibu pejabat PBB di Amerika Syarikat.

"Kehadiran Malaysia di forum global berprestij ini mengesahkan komitmen kami untuk meningkatkan kapasiti perangkaan, menggalakkan inovasi dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata penyertaan DOSM membolehkan Malaysia bertukar kepakaran, belajar daripada amalan terbaik global dan menyumbang kepada evolusi metodologi perangkaan untuk memberi manfaat kepada semua negara.

"Malaysia kekal komited untuk meningkatkan pembangunan statistik global menerusi kerjasama dan pembinaan kapasiti. Kami akan terus memastikan data berkualiti tinggi dan boleh dipercayai untuk memacu penggubalan dasar termaklum," katanya.

Mohd Uzir menegaskan semula sokongan Malaysia terhadap Prinsip Asas Perangkaan Rasmi dan Forum Data Dunia PBB 2025 di Medellín, Colombia, sambil menekankan usaha DOSM untuk mengembangkan rangkaian globalnya dan meningkatkan pertukaran pengetahuan.

Beliau berkata pada UNSC56, 34 perkara agenda telah dibincangkan dan disahkan termasuk 22 perkara untuk perbincangan dan keputusan, dua untuk keputusan item dan 10 untuk maklumat item. 

"Malaysia mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan ini, mengemukakan 34 kenyataan bertulis negara dan menyampaikan tujuh kenyataan lisan," katanya.

Beliau berkata antara bidang tumpuan utama termasuk Prinsip Asas Perangkaan Rasmi (FPOS), Akaun Negara, Banci Penduduk dan Perumahan, Statistik Ekonomi, Klasifikasi Perangkaan Antarabangsa, Statistik Migrasi, Data dan Petunjuk untuk Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, Sains Data, Perakaunan Alam Sekitar-Ekonomi dan Statistik Gender. 

Mohd Uzir berkata Malaysia juga terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi, mesyuarat kumpulan pakar dan acara sampingan, berkongsi pengalaman negara dan amalan terbaik dengan Pejabat Perangkaan Kebangsaan (NSO) lain dan agensi statistik antarabangsa.

"DOSM menyumbang kepada inisiatif seperti meningkatkan statistik tadbir urus, menyepadukan data besar dan memperhebat transformasi digital statistik rasmi.

Terutamanya Malaysia memainkan peranan dalam inisiatif statistik global, termasuk Buku Panduan Tinjauan Isi Rumah, Sistem Akaun Negara 2025 dan garis panduan antarabangsa mengenai statistik e-dagang," katanya.

Mohd Uzir berkata Malaysia sebagai ahli kumpulan pakar global yang aktif, turut mengambil bahagian dalam platform seperti Lembaga Tadbir Program Perbandingan Antarabangsa (ICP), Biro Jawatankuasa Statistik ESCAP, Suruhanjaya Perangkaan OIC (OIC StatCom) dan Kumpulan Kerja Antara Urus Setia Mengenai Tinjauan Isi Rumah (ISWGHS).

UNSC56 tahun ini telah menarik hampir 500 peserta dari 98 negara dan 38 agensi antarabangsa serta pertubuhan bukan kerajaan.

Objektif utama UNSC56 ialah 'Data Lebih Baik, Kehidupan Lebih Baik' menerusi kerjasama statistik global dan inovasi.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan