AM > BERITA

Pemilik Kedai Runcit, Adik-beradik Sumbang 1,000 Kampit Beras Sempena Ramadan

10/03/2025 05:09 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Mac (Bernama) -- Seorang peniaga kedai runcit bersama enam adik-beradiknya bersepakat menyumbang 1,000 kampit beras putih import seberat lima kilogram (kg) kepada golongan yang memerlukan hari ini.

Siti Fatimah Mohamed Farook, 41, berkata selain ingin mencari keberkatan sempena bulan Ramadan ini, beliau bersama adik-beradiknya mengambil inisiatif dengan niat meringankan beban golongan kurang berkemampuan seperti asnaf, anak yatim dan ibu tunggal dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pemilik kedai runcit Gemilang Speed Mart itu berkata hasil wang yang dikumpul bersama adik-beradiknya sebanyak RM20,000 digunakan untuk mendapatkan 1,000 kampit beras dari pengedar, dan ia diagihkan kepada golongan memerlukan di kedai runcitnya di Jalan Panji Alam dekat sini.

“Kami membuat hebahan mengenai inisiatif ini melalui laman sosial Facebook dan TikTok sejak semalam. Alhamdulillah seawal 1 tengah hari tadi sudah ada yang beratur bagi mendapatkan bahan makanan asas ini. 

“Kami mula mengagihkan beras sekitar 2.50 petang tadi dan tidak sampai dua jam stok beras hanya tinggal kurang daripada 100 kampit lagi,” katanya.

Siti Fatimah berkata beliau menyasarkan 1,000 keluarga dapat dibantu hari ini, dan beliau berasa terharu kerana ada penerima yang sanggup datang dari luar Kuala Terengganu bagi mendapatkan beras percuma itu.

Beliau berkata ia merupakan tahun ketiga adik-beradiknya menjayakan inisiatif sumbangan tersebut, namun dua tahun sebelum ini mereka hanya menyumbang sekitar 500 kampit beras sahaja.

Beliau juga berazam untuk menyumbang lebih banyak kampit beras pada tahun-tahun akan datang bagi memastikan lebih ramai keluarga yang kurang berkemampuan dapat dibantu.

 -- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan