Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Tekankan Kepentingan Perkukuh Dasar Islam Dalam Pendidikan

11/03/2025 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan terhadap kepentingan memperkukuh dasar Islam khususnya dalam pendidikan dan beberapa ikhtiar kerajaan untuk membina kekuatan dalaman umat Islam. 

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata perkara itu dinyatakan Perdana Menteri ketika meraikan kunjungan rombongan pondok dan madrasah dari Kelantan di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau berkata kehadiran mereka adalah atas undangan Perdana Menteri sendiri, setelah rombongan tersebut menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya semalam. 

“Perdana Menteri menghargai pandangan para tuan guru yang menyampaikan nasihat khususnya dalam soal pendidikan turath serta idea memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

“Selain (itu) titipan nasihat tuan guru terkait usaha memperteguh semangat memupuk kefahaman, kasih sayang, memadamkan kebencian dan sabar dalam gesaan agar penjelasan yang bersungguh-sungguh mengenai ikhtiar kerajaan MADANI kepada rakyat mengenai Islam disampaikan,” katanya. 

Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri dan agamawan yang turut serta dalam perbincangan itu juga bersetuju, bahawa banyak perkara boleh disepakati khususnya dalam isu Islam, berbanding membesarkan perbezaan pendapat atau pandangan. 

Beliau berkata Perdana Menteri dalam perbincangan itu turut mengetengahkan perkembangan komunikasi dan kerjasama erat dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

“Perdana Menteri berharap pertemuan ini akan dapat diteruskan pada masa yang akan datang dan beliau amat mengalu-alukan wacana seperti ini.

“Buah fikiran dan nasihat para tuan guru yang dizahirkan dalam pertemuan ini amat dihargai beliau dan percaya ia disampaikan atas kepentingan maslahat umat dan negara,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan