LUMUT, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan berpuas hati dengan kemajuan pembinaan lima kapal tempur pesisir (LCS) walaupun terdapat sedikit kelewatan berbanding jadual asal, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata setakat ini, pembinaan kapal sepatutnya telah mencapai tahap 73 peratus, namun berlaku kelewatan sebanyak 1.68 peratus bagi kelima-lima kapal akibat faktor berkaitan pengeluar peralatan bekalan asal (OEM).
“Ketika ini, kami berada di Limbungan LUNAS (Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd) untuk meninjau perkembangan pembinaan kapal tempur pesisir. Ini merupakan lawatan kedua saya bersama Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha (KSU) dan Panglima Tentera Laut, yang mencerminkan betapa pentingnya projek ini kepada negara.
“Kehadiran ini juga bertujuan memastikan masyarakat mendapat maklumat secara langsung daripada kementerian dan saya sendiri, bukannya daripada sumber luar yang membuat tuduhan atau andaian yang tidak berasas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan Lawatan Kerja ke Limbungan LUNAS di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata dalam lawatan itu, pihaknya telah mendengar taklimat dan berpuas hati dengan kemajuan kerja yang sedang dilaksanakan.
“Seperti yang dinyatakan, kapal LCS pertama dijangka diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026. Selain itu, kita juga dapat melihat bahawa kapal LCS kedua, ketiga, keempat dan kelima sedang dalam pembinaan mengikut jadual masing-masing.
“LCS kedua pula dijangka diluncurkan ke air pada Mei ini dan diserahkan kepada TLDM pada April 2027, manakala LCS ketiga dijangka diluncurkan pada Januari 2026,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa kementerian telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM312,000 kepada keluarga waris mangsa tragedi helikopter TLDM tahun lalu, hasil kutipan Tabung Kebajikan.
Selain itu, beliau berkata peruntukan sebanyak RM70.44 juta turut disalurkan bagi penyelenggaraan rumah-rumah TLDM, dengan RM28.71 juta daripadanya diperuntukkan untuk Kem Lumut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial