Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Debat Terbuka Isu Agama Perlu Dihentikan Demi Keharmonian Negara - Mohd Na'im

11/03/2025 03:38 PM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Debat secara terbuka yang memfokuskan kepada perbezaan agama perlu dihentikan kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau menyokong pandangan Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang bahawa debat berkaitan agama tidak wajar diadakan secara terbuka kerana ia boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Saya sokong sepenuhnya pandangan Datuk Aaron kerana debat terbuka mengenai isu-isu agama boleh menimbulkan kekeliruan dan ketegangan dalam kalangan rakyat. Kita mahu memastikan kesatuan dan perpaduan masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini terus diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program ERAT Ramadan 2025 yang dianjurkan bersama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Warisan Ummah Ikhlas di sini hari ini.

Sebelum ini, Datuk Aaron Ago Dagang menyuarakan kebimbangannya mengenai kesan negatif debat terbuka berkaitan agama yang berpotensi menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Jumaat lepas media melaporkan Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan menetapkan tarikh debat bersama pendakwah bebas Zamri Vinoth pada 23 Mac ini yang akan dianjurkan Dewan Bahasa Tamil Malaysia. 

Ad Banner

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan