Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar Santuni Pengamal Media Pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri

12/03/2025 09:16 AM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyantuni pengamal media dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Angkasapuri, di sini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj. 

Anwar yang tiba sekitar 6.45 petang dengan berpakaian baju Melayu bewarna biru cair, meluangkan masa menyantuni kira-kira 500 pengamal media yang hadir.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada sepuluh veteran media yang diuji dengan masalah kesihatan bagi membantu mereka membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.

Selain wang tunai, penerima Tabung Kasih@HAWANA turut menerima hamper sumbangan Mydin.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan dikendalikan oleh BERNAMA, bertujuan menyantuni pengamal media.

Ad Banner

 

Pada majlis itu, Perdana Menteri juga meluangkan masa menyempurnakan peluncuran buku Amanat Integriti dan Tatakelola: Malaysia MADANI terbitan Institut Integriti Malaysia.

Usai berbuka puasa, Anwar bersama hadirin menunaikan solat maghrib berjemaah di Masjid Muhammadi di Angkasapuri.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan