Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pindaan Akta Orang Asli Dibentang Pertengahan Tahun Depan - Ahmad Zahid

11/03/2025 10:28 PM

SEREMBAN, 11 Mac (Bernama) -- Draf pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) hampir siap dan akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya pertengahan tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pindaan itu bertujuan menambah baik beberapa perkara termasuk isu tanah, infrastruktur, pendidikan, perumahan dan ekonomi masyarakat Orang Asli.

"Akta itu akan dipinda setelah lebih 70 tahun dan beberapa aspek sedang diambil kira untuk dimasukkan dalam ubah suai akta ini terutamanya isu tanah atau kawasan rayau kerana terdapat pertikaian antara komuniti itu dan tuan tanah, pihak swasta dan kerajaan negeri.

"Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan ke New Zealand membuat kajian perbandingan antara Akta Orang Asli di sana dan dijadikan panduan terhadap pindaan akta ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) (Zon Tengah) 2025 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata libat urus mengenai pindaan akta tersebut turut melibatkan Tok Batin dan pimpinan Orang Asli serta para intelektual.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid memuji komitmen JAKOA dalam pembangunan pendidikan Orang Asli dengan pencapaian 550 anak golongan itu memasuki universiti tahun lepas, melebihi sasaran awal ditetapkan 400 pelajar.

Ad Banner

Sementara itu, Ahmad Zahid mengingatkan masyarakat supaya mengelakkan pembaziran makanan ketika Ramadan.

Beliau berkata statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendapati negara membazirkan 75,000 tan makanan pada Ramadan 2023 iaitu meningkat 15 hingga 20 peratus berbanding bulan lain dengan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan ketara.

“Lebih membimbangkan, setiap tahun negara melupuskan 8.3 juta tan sisa makanan iaitu setiap individu menyumbang sekitar 260 kilogram setahun, ironinya, 4,005 tan atau 24 peratus daripadanya masih boleh dimakan.

“Pembaziran ini jika dapat dielakkan, kita dapat gunakan lebihan makanan itu untuk disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Jadi saya ingatkan diri sendiri dan semua supaya tidak melakukan pembaziran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan