Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kompaun Maestra Broadcast Network System Mengikut Pindaan Akta 588 - Fahmi

12/03/2025 12:05 AM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kompaun RM250,000 dikenakan terhadap Maestra Broadcast Network System Sdn Bhd adalah dengan izin Timbalan Pendakwa Raya berpandukan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang berkuat kuasa 11 Feb lepas.

Fahmi menerusi ciapan di laman X berkata pindaan Akta 588 itu antara lain memperuntukkan denda maksimum RM500,000.

"Bukan Era FM (yang dikompaun), tapi Maestra Broadcast Network Systems (MBNS) Sdn Bhd iaitu pemegang lesen (yang dikeluarkan oleh) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang dikompaun.

"MBNS bukan individu tapi sebuah anak syarikat milik Astro yang punyai keuntungan substantif," katanya.

Beliau membalas ciapan pengguna akaun laman X dikenali @Solisidtor yang inginkan kepastian mengapa pelawak Harith Iskander dan seorang wanita Cecelia Yap dikompaun RM10,000 gara-gara memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama walhal Era FM dikompaun RM250,000.

Fahmi menjelaskan kompaun RM10,000 dikenakan terhadap Harith dan Cecelia antara lain kerana kesalahan berlaku sebelum pindaan akta pada 11 Feb, iaitu denda maksimum RM50,000 jika disabit kesalahan.

Ad Banner

Terdahulu, MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd namun pengendali stesen radio Era FM itu dikenakan kompaun RM250,000.

Kompaun itu dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara, adalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan dan berkuat kuasa mulai 11 Feb 2025) iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan