Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Banjir Di Beaufort Semakin Pulih, Penduduk Berjaga-Jaga ‘Air Turun’

12/03/2025 04:57 PM

BEAUFORT, 12 Mac (Bernama) -- Situasi banjir di Beaufort semakin pulih namun penduduk masih mengambil langkah berjaga-jaga berlaku ‘air turun’ memandangkan daerah lain dalam kawasan pedalaman bawah negeri ini turut dilanda bencana itu. 

Menjelaskan perkara itu, penduduk tempatan Abd Mutalib Abd Ghani, 38, berkata kedudukan Beaufort yang lebih rendah daripada daerah lain di kawasan pedalaman bawah, menyebabkan air akan turun mengalir ke daerah tersebut.

Peniaga dari di Kampung Melati di sini itu, berkata banjir dari daerah pedalaman bawah seperti Tenom, Membakut dan Sipitang akan mengalir keluar melalui Sungai Padas dan sungai lain menuju ke kawasan lebih rendah di Beaufort.

“Rumah saya dan penduduk kampung ini memang di tepi Sungai Padas, jadi bila air sungai melimpah berlakulah banjir. Memang kita tengok sungai akan jadi penuh, arus pun amat deras kerana air bukan dari Beaufort sahaja tetapi ‘air turun’ dari daerah lain di pedalaman bawah.

“Selain arus deras, paling bahaya haiwan liar terutama buaya kerana bila air sungai melimpah buaya dapat keluar seterusnya mengancam keselamatan terutama kepada anak-anak kita. Jadi, walaupun tidak lagi hujan kami masih berjaga-jaga kerana air turun boleh membuatkan banjir berulang,” katanya kepada Bernama.

Abd Mutalib juga memohon pihak bertanggungjawab supaya memantau rapi banjir buruk itu yang pertama kali berlaku selepas bencana sama pada 2014 dan 2015, dan meminta pemimpin turun padang bagi mengetahui sendiri bentuk bantuan yang diperlukan terutama dalam situasi pascabanjir.

Ad Banner

Sehingga pagi tadi hanya daerah di pedalaman bawah Sabah dilanda banjir dengan Beaufort mencatat 1,719 mangsa daripada 556 keluarga di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS), Membakut (422 mangsa daripada 50 keluarga di lima PPS), dan Tenom (514 mangsa daripada 210 keluarga di sembilan PPS).

Beaufort adalah daerah di pedalaman bawah Sabah, terletak lebih 100 kilometer arah barat daya dari Kota Kinabalu, dengan bentuk muka bumi kebanyakannya tanah-pamah dan rata terutamanya di bahagian utara serta tengah daerah yang berdekatan dengan pantai.

Sementara itu,  petani Ruslan Mursidi, 45, berkata fenomena ‘air turun’ itu akan menyebabkan air Sungai Padas serta sungai lain lebih deras berbanding hari biasa dan membawa banyak serpihan serta sampah yang membahayakan penduduk.

“Kayu-kayu, tanah dan sampah memang banyak bila air turun. Ia jadi masalah bila masuk ke kawasan parit di tepi sungai kerana semua akan tersumbat. Air yang melimpah dan masuk kawasan rumah juga menimbulkan masalah,” katanya.

Dayang Nurhafidzah Awang Damit, 35, pula berkata air turun juga boleh menyebabkan kawasan itu digenang air atau berlaku ‘banjir termenung’ yang mengambil masa lebih lama untuk surut kerana paras Sungai Padas serta sungai lain tinggi.

“Walaupun sudah tidak hujan lebat banjir masih boleh berlaku disebabkan air turun dan pekan Beaufort pula memang betul-betul sebelah Sungai Padas jadi memang akan ambil masa untuk surut,” kata suri rumah itu.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort Mohammad Hasbullah Nenggok menasihatkan penduduk supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam sebarang situasi banjir dan mengikut arahan daripada pihak berkuasa.

Beliau juga menasihatkan penduduk yang berada di kawasan rendah supaya berpindah lebih awal apabila berlaku banjir bagi memastikan keselamatan mereka.

“Bomba sentiasa bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan dalam situasi banjir ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan