Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tunku Zain Al-'Abidin Dilantik Penaung Hospital UCSI

13/03/2025 10:40 AM

SEREMBAN, 12 Mac (Bernama) -- Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz dilantik sebagai penaung Hospital UCSI sempena sambutan ulang tahun keempat hospital itu.

Dalam ucapannya, Tunku Zain Al-’Abidin menzahirkan penghormatan di atas pelantikan itu dan bersedia menunaikan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, komitmen dan akauntabiliti.

“Saya berharap kita dapat terus bekerjasama bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan dan memastikan setiap pesakit dihargai dan dijaga dengan penuh belas kasihan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Hospital UCSI di sini hari ini.

Tunku Zain Al-’Abidin yang juga Pro-Canselor Universiti UCSI turut memuji kemajuan Hospital UCSI khususnya program Rakyat Wing yang menyediakan rawatan perubatan mampu milik kepada kumpulan B40 dan M40, serta pekerja asing yang tidak diinsuranskan. 

“Melalui Yayasan Munarah, saya berkhidmat sebagai presiden dan penaung, kami bersedia bekerjasama dengan Hospital UCSI menerusi program Rakyat Wing bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Tunku Zain Al-’Abidin turut menggesa pemimpin kerajaan dan penggubal dasar mengiktiraf peluang ditawarkan menerusi program Rakyat Wing dan mengambil langkah proaktif untuk meringankan beban hospital awam. 

Ad Banner

“Ini bukan soal persaingan tetapi kerjasama untuk kepentingan rakyat. Sudah tiba masanya untuk melangkaui pemikiran yang lapuk dan mengambil tindakan berani untuk menghubungkan sumber yang ada dan menyokong komuniti dengan lebih baik,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan UCSI Datuk Peter Ng, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UCSI Prof Emerita Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dan Pengerusi Kumpulan Penjagaan Kesihatan UCSI Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Pusat Pendidikan dan Latihan Perubatan, tambahan terbaharu kepada Hospital UCSI.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Pusat Pendidikan dan Latihan Perubatan hospital berkenaan akan memperkenalkan program Breast and Endocrine Fellowship dan kursus ultrasound untuk pelajar dan pengamal perubatan am.

“Pusat ini akan berfungsi sebagai tunjang komitmen Hospital UCSI terhadap pendidikan perubatan, memupuk kecemerlangan dalam latihan penjagaan kesihatan dan meningkatkan penjagaan pesakit melalui pembelajaran berterusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata pusat itu juga akan menyelia rangkaian komprehensif inisiatif pendidikan, termasuk kerjasama tempatan dan antarabangsa, program fellowship, penempatan pelajar perubatan dan kejururawatan, penempatan klinikal dan pemerhatian merentasi pelbagai kepakaran perubatan serta pembedahan.

Ditubuhkan pada 2021, Hospital UCSI adalah sebahagian daripada UCSI Health Metropolis, sebuah projek mega yang bertujuan untuk mengubah Springhill, Negeri Sembilan menjadi hab pelancongan perubatan yang terulung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan