Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penghantaran Pulang Warga Palestin Masih Dalam Perbincangan Dengan Mesir - Adly

13/03/2025 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari hari ini berkata setakat ini belum ada kata putus mengenai penghantaran pulang 127 rakyat Palestin termasuk 41 individu cedera yang sebelum ini dibawa ke Malaysia untuk menerima rawatan.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan kini bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mengurus dan menyediakan tempat tinggal bagi warga Palestin tersebut.

"Kita di peringkat Kementerian Pertahanan masih menunggu penyelarasan dengan pihak Mesir untuk kita menghantar mereka pulang terutama ke Gaza. 

"Kita masih berkomunikasi dengan pihak Mesir dan berharap proses ini dapat dimuktamadkan secepat mungkin. Ketika kita  hendak mengambil mereka, diplomasi dilakukan melalui pihak Mesir dan apabila hendak menghantar mereka pulang, juga perlukan kerjasama mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kementah, di sini, hari ini. 

Beliau berkata kebajikan warga Palestin itu yang tiba di Malaysia pada 16 Ogos tahun lepas akan terus dijaga dan pihaknya turut berharap menerusi gencatan senjata yang sedang berlangsung di Palestin, usaha membawa pulang mereka akan dapat direalisasikan. 

Sementara itu, Adly berkata tiga sekolah dalam kem (SDK) telah dipilih bagi pelaksanaan projek rintis Program Digitalisasi Affin Digital Space, iaitu SK TUDM Subang, SK Sultan Sir Ibrahim, Kluang dan SK Kementah dengan kelengkapan makmal digital bagi program tersebut dijangka akan disediakan menjelang Oktober tahun ini.

Ad Banner

Beliau berkata, pihak Affin Bank telah menaja sepenuhnya penyediaan kelengkapan makmal digital di ketiga-tiga sekolah berkenaan antaranya TV pintar, komputer riba, perakam video, telefon pintar, aplikasi multimedia dan sistem sokongan dengan kos RM94,000. 

"Hari ini kita mempunyai 38 buah SDK, namun hanya tiga sekolah sahaja yang dilengkapi dengan kelengkapan pendidikan digital iaitu SK Kem Terendak I di Melaka, SK Desa Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur dan SK Kem Iskandar di Johor. 

"Menyedari kesenjangan yang masih melebar ini, kita bertekad untuk melakukan sedikit anjakan dalam dunia pendidikan digital bermula dari sekolah rendah," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan