Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rapid Rail Sahkan Gangguan Teknikal Pada Tren Di Stesen Abdullah Hukum, Tiada Kecederaan

13/03/2025 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali kepada perkhidmatan rel Laluan Kelana Jaya mengesahkan berlaku gangguan teknikal pada sebuah tren bernombor 84 di Stesen Abdullah Hukum, semalam.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan melibatkan penumpang dilaporkan.

Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden yang tular di media sosial dilaporkan pada 10.43 malam tadi, berpunca daripada kerosakan pada komponen pemasangan pengumpul kuasa pada tren. 

"Impak daripada insiden tersebut ,terdapat kepulan asap kecil dan bunyi dentuman. 

"Pegawai transit yang bertugas dalam tren tersebut telah bertindak pantas mengikut piawaian standard operasi dengan meminta semua penumpang turun di Stesen Abdullah Hukum dan perkhidmatan tren alternatif diaktifkan bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut tren yang mengalami kerosakan dihantar ke depoh penyelenggaraan untuk siasatan lanjut.

Ad Banner

"Bagi memastikan kejadian seumpama tidak berulang, pihak jurutera Rapid Rail telah mempertingkat pemeriksaan pada semua tren yang beroperasi di Laluan Kelana Jaya untuk memastikan kebolehpercayaan perkhidmatan tren sentiasa berada di tahap optimum dan selamat.

"Selain itu, pemantauan yang lebih kerap turut dijalankan oleh pegawai transit terutama di dalam tren ketika waktu puncak," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh penumpang semasa insiden tersebut dan akan terus melakukan penambahbaikan bagi memastikan perjalanan penumpang Rapid KL selamat, selesa serta lancar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan