Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Stesen Jana Kuasa Pulau Indah Telah Beroperasi, Jana RM1.6 Bilion Tahun Hadapan

13/03/2025 03:55 PM

SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) -- Stesen jana kuasa Pulau Indah (PIPP) di Klang yang dibina empat tahun lepas telah beroperasi secara komersial bermula 1 Mac lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata pencapaian itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (WHB) Datin Paduka Norazlina Zakaria, dan ia merupakan satu kejayaan besar kepada WHB serta seluruh pasukan PIPP, hasil kerja keras dan dedikasi semua pihak sejak empat tahun lepas.

"Alhamdulillah, menerima khabar gembira daripada Datin Paduka Norazlina Zakaria, GCEO Worldwide Holdings Berhad bahawa PIPP kini telah beroperasi secara komersial.

"Tepat jam 12 tengah malam pada 1 Mac 2025, PIPP secara rasmi memasuki fasa operasi komersial. Tahniah kepada pasukan PIPP dan WHB atas kerja keras sepanjang empat tahun ini," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pembangunan projek stesen jana kuasa 1,200 MW turbin gas di Pulau Indah itu dilaksanakan oleh WHB dengan kerjasama Korea Electric Power Corporation (KEPCO) membabitkan kos RM3.3 bilion.

Amirudin berkata dengan pencapaian itu, PIPP kini bersedia menerajui masa depan tenaga yang lebih mampan.

Ad Banner

Beliau berkata projek itu dijangka menjana RM1.6 bilion pada tahun hadapan.

"Semoga kejayaan ini membawa lebih banyak manfaat untuk negeri dan rakyat," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan stesen jana kuasa itu akan menyokong keperluan tenaga elektrik yang semakin meningkat di Lembah Klang dan menampung bekalan beban asas tenaga di wilayah itu.

Tenaga berkarbon rendah yang dihasilkan stesen jana kuasa itu juga akan disalurkan ke wilayah tengah Semenanjung Malaysia membabitkan Klang, Sepang dan Kuala Langat yang mempunyai permintaan tenaga elektrik yang tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan