KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) terus mengukuhkan reputasi globalnya dengan berada di kedudukan ke-184 dalam QS World University Rankings mengikut Subjek 2025 untuk Subjek Umum: Kejuruteraan dan Teknologi.
Pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan UTP sebagai universiti swasta terkemuka di rantau ini dalam bidang berkenaan.
Dalam satu kenyataan, UTP memaklumkan pencapaian cemerlang itu terutamanya dalam Kejuruteraan Petroleum menyaksikan pencapaian menduduki ranking ke-16 di peringkat global sekali gus menempatkannya dalam kalangan 20 universiti terbaik dunia.
“Pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan UTP sebagai institusi utama dalam pendidikan dan penyelidikan berkaitan tenaga serta sumber. Kekuatan universiti ini dalam aspek kejuruteraan merentasi pelbagai disiplin; Kejuruteraan Mineral dan Perlombongan pada kedudukan 51-100 dan Kejuruteraan Kimia pada kedudukan 101-150,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, program Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTP juga tersenarai pada kedudukan 151-200, Kejuruteraan Mekanikal (201-250) dan program Sains Komputer dan Sistem Maklumat (301-350) di seluruh dunia.
“Selain Kejuruteraan dan Teknologi, UTP juga mendapat pengiktirafan dalam Subjek Umum: Sains Semula Jadi, di ranking ke-362 di dunia. Dalam kategori ini, program kimia berada pada kedudukan 301-350, Fizik (351-400), dan Sains Bahan (251-300).
"Sementara itu, Pengajian Perniagaan dan Pengurusan berada pada kedudukan 501-550," menurut kenyataan itu.
Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata kecemerlangan berterusan universiti dalam kedudukan subjek di peringkat global mencerminkan dedikasi universiti terhadap penyelidikan termaju, kurikulum dipacu industri dan kebolehgajian siswazah.
“Kejayaan itu didorong oleh kecemerlangan fakulti, kemudahan termaju, dan kerjasama kukuh dengan peneraju industri. Kami akan meneruskan usaha meneroka sempadan baharu dalam pendidikan, menyumbang kepada kemajuan teknologi dan penyelesaian mampan bagi menangani cabaran global,” katanya.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi peranan UTP sebagai universiti berteraskan penyelidikan, komited melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri selain merintis kemajuan untuk membentuk masa depan kejuruteraan, teknologi dan sains.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial