Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sabah Peruntuk Lebih RM75 Juta Laksana Inisiatif Bantuan Pendidikan - Hajiji

13/03/2025 05:06 PM

KOTA KINABALU, 13 Mac (Bernama) -- Sabah memperuntukkan sebanyak RM75.5 juta pada tahun ini untuk melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan kepada pelajar, sekolah, persatuan ibu bapa dan guru serta persatuan mahasiswa Sabah di dalam dan luar negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata antara inisiatif yang dilaksanakan dan diteruskan pada tahun ini ialah Bantuan Tunai Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi sekali bayar (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Insan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI).

Selain itu, Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Insan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS), Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) dan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRSSUBFLY) turut dilaksanakan.

"Untuk inisiatif BUDI sahaja kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta dengan sasaran 10,000 pelajar manakala BAKTI sebanyak RM8 juta dengan sasaran 40,000 pelajar tahun ini," katanya ketika melancarkan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya di sini hari ini.

Hajiji berkata kerajaan juga telah memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Sumbangan Kegiatan Sekolah sekali bayar (SUKSES) kepada semua sekolah di seluruh Sabah.

Bantuan sebanyak RM 3,000 juga diberikan kepada setiap sekolah bagi menjalankan aktiviti atau pembelian keperluan sekolah.

Ad Banner

Selain itu, kerajaan negeri turun menambah dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM51 juta kepada RM128 juta pada tahun ini.

Hajiji berkata beliau telah mengumumkan bantuan subsidi GRS-SUBFLY kepada semua pelajar IPT awam dan swasta yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan, sumbangan sebanyak RM600 seorang membabitkan perbelanjaan keseluruhan melebihi RM10 juta.

"Mereka akan mendapat bantuan menerusi SENTOSA, bantuan sekali bayar sebanyak RM300 seorang kepada pelajar yang menuntut di IPT di Sabah, melibatkan peruntukan sebanyak RM6 juta dengan anggaran seramai 20,000 pelajar," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan