Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

UDA Raikan Hampir 100 Anak Yatim, Asnaf Beli Baju Raya Sempena Aidilfitri

13/03/2025 05:50 PM

JOHOR BAHRU, 13 Mac (Bernama) -- Keceriaan jelas terpancar pada wajah kira-kira 100 anak yatim dan asnaf dari Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh yang dibawa membeli baju raya bersempena dengan sambutan perayaan Aidilfitri.

Ia merupakan usaha UDA Holdings Bhd (UDA) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares, Majlis Sinar Ramadan UDA 2025, yang diadakan di Angsana Johor Bahru Mall, di sini.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Zahrin Zakaria berkata sumbangan disalurkan menerusi zakat wakalah berjumlah RM30,000 kepada rumah perlindungan itu.

“Sebanyak RM30,000 sumbangan zakat wakalah disalurkan kepada anak-anak ini yang dibawa membeli-belah pakaian baharu bernilai RM300 seorang.

“Inisiatif ini memperkukuh komitmen CSR UDA Cares menerusi tunggak Enriching Life khususnya kepada komuniti yang memerlukan sokongan dan menjalankan kewajipan mengagihkan zakat wakalah kepada golongan yang layak di sekitar wilayah pembangunan perniagaan UDA,” katanya ketika berucap pada pelancaran Majlis Sinar Ramadan UDA 2025 di pusat beli-belah itu hari ini. 

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall Imran Salleh, Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd Muhammad Ismail Dasuki serta barisan pengurusan dan petugas UDA yang turut  membantu anak-anak berkenaan membeli-belah baju baharu.

Ad Banner

Zahrin berkata program itu dianjurkan setiap tahun sejak tiga tahun lepas bagi menceriakan anak-anak merasai kemeriahan membuat persiapan Aidilfitri, selain menikmati juadah berbuka puasa dan dihadiahkan kuih raya sebagai tanda ingatan.

Beliau dalam pada itu berkata inisiatif terbabit merupakan bukti keprihatinan UDA terhadap kebajikan dan kesejahteraan komuniti khususnya bumiputera serta mengharapkan agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana yang gembira. 

“Bantuan ini juga selari dengan penjenamaan baharu UDA, iaitu ‘L.I.F.E.’ atau Legacy, Integrated, Finesse dan Enrich dalam menyemarakkan kesejahteraan sosial masyarakat selari dengan konsep Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau berkata ia sekali gus dapat menyokong penyewa yang menjalankan perniagaan di Angsana Johor Bahru Mall seterusnya menyumbang kepada pengukuhan pemerkasaan usahawan tempatan.

Sementara itu, Siti Aisyah Khadijah Ezuddin, 13, yang merupakan antara penerima berkata dia sangat gembira dapat membeli baju kurung baharu bersama rakan-rakan rumah perlindungan itu.

“Saya rasa gembira sebab tahun ini kami semua, penghuni perempuan rancang untuk pakai baju kurung sedondon warna kuning, jadi rasa sangat teruja dapat pilih baju sendiri,” katanya yang berasal dari Batu Pahat.

Muhammad Fadzrul Naim Mohd Khairu Hafiz, 15, berkata sambutan Aidilfitri tahun ini sangat bermakna sekali gus melahirkan kesyukuran kerana dapat membeli baju Melayu yang diidamkan dan akan dipakainya pada pagi raya nanti.

“Saya gembira kerana ada pihak yang berkongsi rezeki, dengan sumbangan ini saya dapat memilih baju hijau, iaitu warna kegemaran saya untuk digayakan pada Aidilfitri nanti,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan