Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pusat Perubatan Sunway Perkenal Suite Pembedahan Tulang Belakang AiBLE™ Pertama Di Asia Tenggara

20/05/2025 10:11 AM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) mencatatkan sejarah sebagai hospital pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang memperkenalkan Suite Pembedahan Tulang Belakang AiBLE™, teknologi robotik terkini yang merevolusikan pembedahan tulang belakang dengan ketepatan dan kecekapan.

SMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sistem AiBLE™ diperkenalkan bagi menangani peningkatan masalah sakit belakang dan gangguan tulang belakang, antara isu kesihatan yang kerap berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Memetik data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), SMC memaklumkan masalah berkaitan tulang belakang seperti sakit bahagian bawah tulang belakang atau low back pain (LBP) menjejaskan 619 juta individu di seluruh dunia pada 2020, dengan jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada 843 juta menjelang 2050.

Menurut hospital berkenaan LBP merupakan penyebab utama ketidakupayaan di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan individu yang berusia antara 50 hingga 55 tahun dan melibatkan sebahagian besar rakyat Malaysia.

"Memandangkan kerumitan anatomi tiga dimensi tulang belakang serta kedudukannya yang berhampiran dengan struktur neurovaskular yang kritikal, Suite Pembedahan Tulang Belakang AiBLE™ yang mengintegrasikan Sistem Panduan Robotik Tulang Belakang, Sistem Navigasi Pembedahan StealthStation™ S8 dan Sistem Pengimejan O-arm™ menawarkan pelbagai manfaat kepada pesakit," menurut kenyataan itu.

SMC memaklumkan ini termasuk ketepatan yang dipertingkatkan melalui pengimejan masa nyata dan teknologi panduan canggih untuk memastikan penempatan implan yang tepat.

Ad Banner

Ia menambah bahawa sistem itu membolehkan pemulihan yang lebih cepat melalui prosedur yang kurang invasif dengan insisi yang lebih minimum, mengurangkan kecederaan tisu dan kesakitan selepas pembedahan, sambil mengurangkan komplikasi intraoperatif dan pascaoperatif.

“Sistem AiBLE™ merupakan sebahagian daripada komitmen SMC untuk membawa tahap penjagaan antarabangsa kepada rakyat Malaysia. Melalui integrasi rawatan tulang belakang terkini di SMC, pakar bedah kini boleh menggunakan fungsi perancangan 3D untuk merancang pembedahan secara optimum dalam simulasi 3D tulang belakang pesakit sebelum memasuki bilik pembedahan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa semasa pembedahan, sistem ini memberikan panduan masa nyata, menjadikan prosedur lebih tepat, efisien dan diyakini oleh pakar bedah  yang akhirnya memberi manfaat kepada pesakit  menerusi hasil lebih baik.

SMC juga memaklumkan bahawa Suite Pembedahan Tulang Belakang AiBLE™ bersama sistem pengimejan MRI dan CT yang canggih di hospital itu memperkukuh kebolehan pasukan pelbagai disiplin di  Pusat Pembedahan Robotik dan Pembedahan Invasif Minimal (MIS) dalam mendiagnosis dan merawat keadaan tulang belakang yang kompleks.

SMC memaklumkan selain daripada pembedahan tulang belakang, sistem AiBLE™ juga boleh menyokong prosedur pembedahan kranial, ortopedik, telinga, hidung dan tekak (ENT) serta prosedur berkaitan trauma, yang memperluaskan keupayaan teknologinya dan menjadikan satu penambahan bernilai kepada rangkaian teknologi perubatan canggih yang semakin berkembang di SMC.

Pakar Bedah Tulang Belakang di SMC Dr Saw Lim Beng berkata AiBLE™ Spine Surgical Suite menetapkan piawaian baharu dalam bidang pembedahan tulang belakang dengan meningkatkan ketepatan dan keselamatan sambil mengurangkan risiko komplikasi serta kesan sampingan yang tidak diingini.

Beliau berkata sistem ini mengintegrasikan perisian kecerdasan buatan (AI) canggih dengan pengimejan masa nyata, membolehkan perancangan pembedahan yang teliti daripada menentukan lokasi dan saiz insisi kulit yang optimum sehinggalan kepada panduan trajektori bagi instrumentasi dan proses dekompresi.

"Tahap visualisasi yang amat jelas terhadap tulang belakang pesakit juga meminimumkan trauma terhadap tisu lembut, menggalakkan pemulihan serta membolehkan pesakit kembali kepada aktiviti harian dengan  lebih cepat. Sehingga kini, kami telah menjalankan lebih 50 kes pembedahan dengan bantuan teknologi AiBLE™ ini," katanya.

Presiden Kumpulan Perubatan Sunway Datuk Lau Beng Long berkata pelancaran AiBLE™ Spine Surgical Suite sebagai satu lagi pencapaian kepada inovasi perubatan SMC dan kepimpinannya dalam penjagaan kesihatan.

"Sebagai antara perintis dalam industri penjagaan kesihatan, kami telah menyaksikan pertumbuhan dan perkembangan yang signifikan di SMC, meliputi pelbagai kemudahan penjagaan kesihatan di seluruh negara sejak penubuhan kami 25 tahun lepas pada 1999," katanya.

Lau berkata pemasangan sistem AiBLE™ menandakan satu lagi pencapaian untuk SMC, apabila ia menjadi hospital pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menawarkan penyelesaian pembedahan inovatif untuk pesakit.

Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC kini beroperasi dengan 810 katil berlesen, menawarkan lebih 60 kepakaran perubatan, dan 28 Pusat Kecemerlangan, menjadikannya pemimpin dalam landskap penjagaan kesihatan di rantau ini.

Dengan siapnya blok keenamnya, Menara F pada suku ketiga 2026, kapasiti SMC dijangka meningkat kepada lebih 1,100 katil, seterusnya meningkatkan keupayaannya untuk memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai pesakit.

SMC tersenarai antara 250 hospital global terbaik dalam senarai "Hospital Terbaik Dunia" 2024 dan 2025 oleh Newsweek selain menjadi hospital swasta pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi utama peringkat hospital secara menyeluruh, menetapkan tanda aras baharu dalam penjagaan kesihatan dan kecemerlangan klinikal.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan