Oleh Amanina Mohamad Yusof and Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol
SEPANG, 23 Mei (Bernama) -- Filipina menjangkakan isu berkaitan pemerkasaan Forum Serantau ASEAN (ARF), hala tuju keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN serta konflik di Myanmar akan dibangkitkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 nanti.
Setiausaha Rendah Hal Ehwal Hubungan Dua Hala dan ASEAN, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Ma Theressa P. Lazaro berkata negaranya yakin sidang kemuncak itu bakal mencetuskan kemajuan dalam kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, walaupun isu teknikal yang berterusan perlu ditangani.
“Saya fikir hanya terdapat beberapa isu teknikal yang masih perlu diselesaikan, dan saya percaya perkara ini merupakan antara hasil yang ingin dicapai oleh Malaysia bagi pihak Timor-Leste... untuk dibincangkan sepenuhnya dari sudut teknikal,” katanya kepada Bernama setibanya di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Timor-Leste telah memohon untuk menyertai ASEAN sejak 2011, dan pertubuhan itu membantu negara berkenaan memenuhi syarat keanggotaan.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 pada November 2022, ASEAN pada prinsipnya bersetuju menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11, tertakluk kepada pematuhan terhadap kriteria dalam Hala Tuju Keanggotaan Penuh.
Lazaro berkata negaranya juga percaya sidang kemuncak ini akan mengukuhkan lagi peranan aktif diplomatik serantau dan Malaysia dalam usaha menyelesaikan konflik politik dan bersenjata yang berlarutan di Myanmar.
“Saya fikir isu Myanmar amat penting, memandangkan Perdana Menteri anda (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah banyak berusaha dalam perkara ini... saya fikir utusan khas anda juga menjalankan tugas yang sangat baik dalam isu Myanmar,” katanya.
Krisis di Myanmar bermula dengan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi.
Tindakan keras tentera terhadap penunjuk perasaan mencetuskan kebangkitan bersenjata secara meluas, menyumbang kepada perang saudara yang telah menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal dan merosakkan ekonomi negara itu.
ASEAN berdepan kesukaran untuk menjadi pengantara damai, namun usaha terbaharu memberi isyarat perubahan apabila perbincangan dicadangkan antara junta dan kerajaan yang digulingkan di tengah-tengah pertempuran yang masih berterusan.
Lazaro turut menyatakan sokongan padu Filipina terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, serta peranannya dalam memacu hala tuju blok serantau itu.
Beliau memuji pengendalian isu serantau oleh Malaysia dan hala tuju yang dibawa dalam perbincangan berprofil tinggi, dan berharap kejayaan itu dapat dicontohi apabila Filipina mengambil alih jawatan pengerusi kelak
“Saya fikir Malaysia melaksanakan tugas yang sangat baik, dan hakikat bahawa kami menyertai dengan sepenuhnya adalah kerana Malaysia mempunyai kepimpinan – sememangnya Perdana Menteri anda (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjalankan tugas dengan cemerlang.
“Dan tentunya ASEAN itu kita, dan sebagai pengerusi yang akan datang, apa sahaja yang telah dibina Malaysia semasa kepengerusian ini adalah sesuatu yang ingin kami ikuti dan bina,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial