KUANTAN, 23 Mei (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan 11 projek pembaikan, pengubahsuaian dan naik taraf di Kampung Kuala Tembeling, Jerantut yang bakal memberi manfaat kepada 796 penduduk.
KPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan 11 projek di bawah program Kampung Angkat MADANI meliputi pemasangan lampu solar, pembaikan dewan dan sekolah, pembaikan ruang riadah dan sukan serta menaik taraf infrastruktur rekreasi dan sosial.
“Projek ini merupakan simbolik komitmen kerajaan dalam membangunkan infrastruktur dan meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Kuala Tembeling itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Ruji Ubi hari ini.
Kementerian itu turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang menjayakan program berkenaan termasuk Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Daerah Jerantut serta Kawasan Rukun Tetangga.
KPN memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM200 juta tahun ini bagi meneruskan pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI yang menyasarkan manfaat kepada masyarakat luar bandar.
Program Kampung Angkat MADANI merupakan platform berkesan untuk pelaksanaan projek secara cekap dan pantas, khususnya projek berskala kecil yang memberi impak besar kepada komuniti setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial