Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SHMMP Pesta Kaamatan, Hari Gawai Selama Tujuh Hari Bermula Minggu Depan - Armizan

23/05/2025 03:56 PM

KOTA KINABALU, 23 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai selama tujuh hari bermula minggu depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata SHMMP Pesta Kaamatan dilaksanakan dari 27 Mei hingga 2 Jun manakala SHMMP Hari Gawai bermula 29 Mei hingga 4 Jun.

"Sebanyak 10 barang terlibat di bawah SHMMP Pesta Kaamatan berbanding hanya lapan barang pada tahun lepas iaitu tambahan bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.

"SHMMP Hari Gawai pula melibatkan 11 jenis barang dengan penambahan tiga barang berbanding 2024 iaitu kelapa biji, kelapa parut dan santan," katanya pada sidang media di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni di Inanam di sini hari ini.

Beliau berkata tempoh pelaksanaan SHMMP mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan komuniti peniaga, membolehkan pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh pelaksanaan yang terlalu lama.

Barangan yang disenaraikan di bawah SHMMP bagi Pesta Kaamatan ialah babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (daging dan lemak) dan daging babi (perut).

Ad Banner

Turut disenaraikan daging kerbau import (India) (tidak termasuk bahagian batang pinang), kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil (India) dan bawang putih (China).

Bagi SHMMP Hari Gawai pula melibatkan babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China) dan cili kering keriting.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan