Oleh Aisha Hani Nor Azmir
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Pelbagai fabrik yang melambangkan identiti negara, warisan budaya dan bahan tradisional kini diangkat menjadi rekaan kraf eksklusif dalam bentuk beg buatan tangan.
Setiap beg bukan sekadar hasil seni, tetapi juga cerminan kepada kepelbagaian identiti Asia Tenggara yang unik, namun tetap terjalin dalam satu ikatan budaya serantau.
Bermula sebagai projek kecil pada 2018, jenama artisan ini dihargai kerana menggabungkan fabrik warisan dari pelbagai negara, termasuk ASEAN, dengan sentuhan kraf moden.
Di sebalik inisiatif ini ialah seorang artisan Malaysia yang menjadikan misinya untuk meraikan dan memelihara tradisi tekstil rantau ini.
Karya Woon Huey Sy di bawah jenama Hueysybags menampilkan fabrik warisan budaya yang kaya, termasuk tenun Kelantan, songket Brunei, sutera Thai, batik Malaysia yang diwarnakan tangan, dan Pua Kumbu, kain tenunan tradisional masyarakat Iban di Sarawak.
“Koleksi ini dihasilkan khas sempena sidang ASEAN. Setiap beg menggunakan fabrik yang mengandungi kisahnya tersendiri,” kata artisan itu sambil menunjuk kepada pelbagai beg berwarna-warni yang dipamerkan.
Antara karya yang paling menonjol adalah beg yang diperbuat daripada tenun Kelantan, tekstil tenunan tangan yang terkenal dengan corak rumit dan nilai budayanya yang mendalam, songket mewah Brunei, serta Pua Kumbu.
Woon berkata pengeluaran beg buatan tangan ini dilakukan secara kecil-kecilan, dengan setiap fabrik hanya mampu menghasilkan sekitar tujuh hingga 15 beg, menjadikan setiap satunya unik dan eksklusif.
“Matlamat saya adalah untuk menunjukkan bahawa penggiat kraf tempatan wujud dan hasil kerja mereka wajar diketengahkan. Ramai individu berbakat di negara ini, dan kita perlukan lebih banyak platform untuk meraikan mereka,” katanya.
Berkongsi pengalamannya dalam dunia kraf, beliau berkata hasil kerjanya bukan sekadar seni, tetapi merupakan satu bentuk hubungan dengan budaya, komuniti dan kisah-kisah yang mengikat semuanya.
Menariknya, beliau belajar menjahit melalui sesi persidangan video bersama nenek rakannya dari Jepun – walaupun berdepan kekangan bahasa dan tanpa pengalaman menjahit sebelum itu – menjadikan perjalanan beliau sama menginspirasikan seperti hasil ciptaannya.
Hueysybags merupakan antara peserta pameran dan jualan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Acara tersebut yang menampilkan 36 gerai pameran daripada 25 peserta dibuka kepada orang awam bermula hari ini sehingga Ahad, dan kepada delegasi ASEAN dari 26 hingga 27 Mei.
Pameran yang bertemakan ‘The Heritech Malaysia’ – gabungan perkataan “heritage” dan “technology” – memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan demonstrasi langsung pembuatan kraf tempatan seperti sulam benang emas, tenunan, dan batik canting serta berinteraksi dengan paparan digital dan tayangan video.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan menghimpunkan para pemimpin negara anggota ASEAN untuk membincangkan isu-isu serantau serta merangka hala tuju kerjasama ASEAN pada masa hadapan.
Pada masa sama, Kuala Lumpur turut menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial