ISKANDAR PUTERI, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan menganjurkan majlis Pelancaran Awal Semarak Jawi Johor sebagai usaha untuk memartabatkan lagi penggunaan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat di negeri ini, Isnin depan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata majlis akan dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata usaha memperkasa bahasa jawi itu akan turut melibatkan kerjasama erat beberapa pihak seperti Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan Yayasan Warisan Johor (YWJ), terutama bagi membincangkan hal-hal berkaitan pengisian utama program, sekali gus memastikan kejayaan dan keberkesanannya dapat dicapai apabila ia dilaksanakan kelak
"Pada 7 Mei lepas satu Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Minggu Jawi Johor diadakan, yang turut melibatkan agensi-agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka wilayah selatan, Yayasan Warisan Johor, Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Waqaf An-Nur, dan lain-lain.
"Selain itu pada 21 Mei juga satu Mesyuarat Jawatankuasa Jawi Johor telah diadakan, dihadiri oleh Munsyi Jawi dari Dewan Bahasa dan Pustaka, dan jawatankuasa ini bertindak sebagai satu badan yang akan menyelaras dan memantau pelaksanaan semua program pengukuhan serta pemerkasaan tulisan jawi di negeri ini," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Haslinda Salleh (BN-Tenang) yang bertanya mengenai usaha kerajaan negeri memperkasa dan memperluaskan penggunaan tulisan jawi dalam kalangan rakyat negeri ini.
Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata penglibatan agensi-agensi lain turut digalakkan agar program ini akan lebih dikenali dan dekat kepada masyarakat keseluruhannya.
"....program-program telah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka wilayah selatan seperti pertandingan sahibba jawi dan lain-lain. Johor Corporation melalui Yayasan Waqaf An-nur juga tidak ketinggalan dalam menyemarakkan penggunaan jawi ini menerusi program-program yang dilaksanakan mereka selama ini seperti trivia jawi, pertandingan tulisan jawi cantik dan sebagainya.
"Untuk makluman semua kita juga memberi cadangan untuk mengisytiharkan bahawa setiap minggu keempat pada setiap bulan sebagai Minggu Jawi Johor dengan beberapa pengisian seperti Jom Baca Jawi yang mengambil contoh pelaksanaan Quran Hour, dan setiap jabatan atau agensi kerajaan menyediakan Sudut Jawi Johor," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial