Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pameran Khas Promosi Produk Tempatan Kepada Delegasi Sidang Kemuncak ASEAN

23/05/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Pameran Produk dan Reruai Jualan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini menampilkan produk tempatan berkualiti kepada delegasi serantau dan antarabangsa.

Disertai lebih 36 agensi kerajaan dan syarikat swasta, pameran yang dibuka kepada orang ramai dari 23 hingga 25 Mei itu menjadi platform untuk mengetengahkan usaha Malaysia dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Ketua Jawatankuasa Kecil Logistik, Media and Publisiti Sidang Kemuncak ASEAN 2025 Zamshari Shaharan berkata antara pihak yang mengambil bahagian dalam pameran itu termasuklah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), agensi penyelidikan MySTI dan beberapa syarikat berkaitan teknologi serta makanan dan minuman.

“Melalui penyertaan JAKOA, kita mahu menunjukkan bahawa tiada siapa yang (dibiarkan) tertinggal. Kita angkat pencapaian komuniti Orang Asli sebagai sebahagian daripada pembangunan negara.

“Dari segi kemampanan pula, kita ada penyertaan seperti MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) yang mengetengahkan inovasi dalam penanaman sayur untuk menjamin sekuriti makanan negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai digalakkan hadir ke pameran itu yang diadakan sehingga 25 Mei sebelum ia menjadi eksklusif untuk pemimpin dan delegasi Sidang Kemuncak ASEAN dari 26 hingga 27 Mei.

Ad Banner

Walaupun tiada sasaran rasmi ditetapkan dari segi pengunjung atau jualan, penganjuran pameran itu menyasarkan peningkatan kesedaran dan keterlihatan produk Malaysia pada peringkat serantau termasuk potensi akses ke pasaran ASEAN dan rantau Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk (GCC).

Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadualkan berlangsung, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan