Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MCMC, MINDEF Meterai Perjanjian Pembangunan Sistem Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh

23/05/2025 05:46 PM

LANGKAWI, 23 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengenai pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perjanjian tersebut ditandatangani Pengerusi Eksekutif MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Lokman Hakim Ali pada satu majlis bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Permeteraian perjanjian itu disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama di majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Suruhanjaya MCMC Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Mej Jen Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha (mewakili Panglima Tentera Udara) serta barisan pengurusan tertinggi daripada kedua-dua pihak.

MCMC dalam kenyataan bersama MINDEF memaklumkan perjanjian itu adalah simbolik kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkasa keupayaan serta kesiapsiagaan sistem pertahanan negara menerusi penyediaan infrastruktur ketenteraan kritikal berteraskan teknologi komunikasi dan keselamatan.

Selain itu, perjanjian itu turut melambangkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa keselamatan negara melalui pendekatan kolaboratif antara sektor awam dengan pertahanan.

Ad Banner

“Menerusi perjanjian ini, MCMC dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bersama-sama melaksanakan inisiatif strategik menyeluruh bagi pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh TUDM.

“Sistem radar yang baharu ini bakal memperkukuh keupayaan pemantauan dan kawalan ruang udara di wilayah selatan Semenanjung Malaysia dan secara langsung menyumbang kepada pengukuhan keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan sokongan berkenaan adalah sejajar dengan pendekatan menyeluruh kerajaan (WoG) yang mengutamakan sinergi antara agensi bagi mencapai aspirasi nasional.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan