SHAH ALAM, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap 68 kilang haram yang dikesan beroperasi lebih 20 tahun di atas tanah milik kerajaan di daerah Klang dan Petaling bermula Julai ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata tindakan itu diputuskan selepas terdapat pengusaha yang terus menceroboh tanah kerajaan termasuk rizab jalan walaupun arahan berpindah telah dikeluarkan.
Beliau berkata sudah tiba masanya tindakan diambil untuk membersihkan kawasan berkenaan kerana selain menceroboh tanah kerajaan, pengoperasian premis berkenaan juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 17 premis yang diklasifikasikan sebagai kilang tanpa kebenaran (KTK) ini beroperasi di Klang, manakala bakinya di Shah Alam serta Petaling membabitkan pelbagai jenis perusahaan antaranya pembuatan cermin rumah, perabot, kimpalan, bengkel dan stor jentera berat.
"Mereka ini sudah menceroboh tanah-tanah kerajaan dan mendirikan kilang tanpa sebarang dokumen Lesen Pendudukan Sementara (LPS)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap KTK Sekangor yang dihadiri wakil-wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini hari ini.
Ng berkata kerajaan negeri juga tidak bersetuju memberi status pemilikan ke atas semua kilang terbabit dan menegaskan sudah sampai masanya tindakan penguatkuasaan dilakukan supaya pengusaha keluar dan kawasan berkenaan dapat dipulihkan.
Beliau berkata siasatan pihaknya mendapati tiada mana-mana kilang berkenaan menjalankan perusahaan memproses sisa haram termasuk sisa elektronik (e-waste), selain mereka juga tidak pernah dikenakan tindakan undang-undang kerana mencemarkan alam sekitar.
Dalam pada itu, Ng berkata sebanyak 90 notis 7A Kanun Tanah Negara telah dikeluarkan kepada pengusaha kilang kerana menyalahgunakan tanah pertanian dan dianggarkan 500 notis lagi akan dikeluarkan menjelang Julai ini untuk tindakan pemutihan dengan PBT.
"Walaupun jumlah KTK telah menunjukkan trend penurunan daripada lebih 6,000 kepada 4,170 setakat ini, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap pihak yang sewenang-wenangnya menceroboh tanah kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial