SERDANG, 23 Mei (Bernama) -- Sebanyak 23 kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) termasuk 19 pensyarah dan penyelidik menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor UPM sempena Majlis Gemilang Putra (MGP) 2025 yang berlangsung di sini hari ini.
Anugerah berkenaan disampaikan Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah pada majlis itu yang bertemakan "Menjulang Kompetensi, Menyahut True North".
Ahmad Farhan berkata penganugerahan itu mampu mendorong lebih ramai staf akademik UPM untuk mengekalkan standard kecemerlangan dan memperkasakan daya inovasi dalam proses pengajaran serta pembelajaran.
“Anugerah ini secara langsung dapat menggalak dan memupuk kreativiti serta inovasi dalam kalangan pensyarah. Ia menyokong penggunaan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (SCL),” katanya ketika berucap pada majlis itu di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM.
Selain itu, beliau berkata penganjuran majlis berkenaan sebagai tanda keprihatinan universiti dan ruang khusus mengiktiraf serta penghargaan terhadap komitmen, modal insan berkualiti dan iltizam warga UPM yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2024.
"Mereka telah banyak menabur jasa dan bakti serta sumbangan yang tidak ternilai di menara ilmu yang bertuah ini," katanya.
Sementara itu, penerima Anugerah Fellowship Naib Canselor (Perunding Cemerlang) Prof Dr Zaiton Samdin berkata anugerah berkenaan menjadi satu kebanggaan yang dapat dikongsi bersama rakan sekerja yang banyak membantunya dalam menjalankan penyelidikan.
"Ini kali kedua saya menerima anugerah ini, pastinya ini semua kerana keluarga, rakan seperjuangan dan pihak fakulti yang sentiasa memberikan aura positif serta sokongan berterusan dalam kajian yang dijalankan. Ini memberikan saya kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan," katanya.
Penerima Anugerah Khas Akademia Putra 2024 Prof Dr Tan Chin Ping yang melanjutkan pengajian di UPM bermula daripada Ijazah Sarjana Muda sehingga ke Ijazah Doktor Falsafah (PhD) turut berkongsi kegembiraannya apabila menerima anugerah berkenaan.
"Ini merupakan anugerah yang paling tinggi pernah saya terima di peringkat UPM, saya rasa pengiktirafan ini diberikan disebabkan hasil penyelidikan dan sumbangan saya selama 25 tahun di UPM," katanya.
Penerima Anugerah Fellowship Naib Canselor bagi kategori Pengajar Muda (Sains Tulen) Dr Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir gembira dengan pengiktirafan yang diterima selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang perkhidmatannya di Jabatan Biologi, Fakulti Sains.
"Sepanjang 10 tahun saya berada di Jabatan Biologi, pelbagai liku telah saya lalui terutamanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun dengan pengiktirafan ini segala usaha yang dicurahkan terasa lebih bermakna lebih-lebih lagi apabila dapat diraikan bersama para mahasiswa di bawah seliaan saya," katanya.
Sementara itu, Anugerah Jasamu Dikenang diberikan kepada waris tujuh pegawai yang meninggal dunia dan Anugerah Jasa Putra disampaikan kepada 99 pegawai yang telah dan akan bersara pada tahun ini.
Anugerah Setia Putra dianugerahkan kepada 186 pegawai yang telah berkhidmat bagi tempoh 20 tahun, manakala Anugerah Bakti Putra disampaikan kepada sembilan pegawai yang berkhidmat selama 30 tahun di UPM.
Anugerah Perkhidmatan Melebihi 40 Tahun turut diberikan kepada lapan pegawai yang telah berkhidmat selama 40 tahun di UPM dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diterima oleh 551 pegawai yang berkhidmat dengan cemerlang sepanjang 2024
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial