Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiga Mesyuarat Prep-SOM Tekan Keperluan Dokumen Hasil Konkrit, Tonjolkan Semangat Konstruktif

23/05/2025 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN (Prep-SOM), Mesyuarat Persediaan SOM ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan Mesyuarat Persediaan ASEAN-GCC-China yang berlangsung hari ini menyaksikan komitmen tinggi daripada semua pihak ke arah merumuskan dokumen hasil yang konkrit dan bermakna.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri (KLN) Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata aspirasi utama yang menjadi fokus dalam perbincangan tersebut ialah keperluan merangka sebuah dokumen yang mencerminkan pencapaian serta hala tuju kerjasama strategik antara ASEAN, GCC dan China.

“Ke hadapan, kita perlu memberi perhatian kepada aspek perincian isu-isu yang akan dimuatkan dalam dokumen tersebut.

“Perkara ini memerlukan rundingan yang rapi, namun semangat yang ditunjukkan oleh semua pihak – ASEAN, GCC dan China – membuktikan komitmen konstruktif untuk mencapai hasil yang berkualiti daripada kedua-dua sidang kemuncak tersebut,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Prep-SOM ASEAN-GCC-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Beliau berkata perkembangan tersebut memberikan harapan bahawa kedua-dua platform ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China akan dapat mencapai hasil yang seimbang dan bermanfaat kepada semua pihak, di samping memperkukuh kestabilan serta kemakmuran serantau.

Amran menjelaskan fokus utama ketiga-tiga mesyuarat adalah tertumpu kepada dua aspek penting, iaitu persediaan dan penyusunan atur cara sidang bagi kedua-dua sidang kemuncak, serta perbincangan terperinci mengenai dokumen hasil.

Ad Banner

“Sidang kemuncak ASEAN-GCC dijangka akan mengeluarkan dua dokumen hasil, iaitu Kenyataan Bersama, dan Deklarasi Bersama, manakala sidang kemuncak ASEAN-GCC China akan menghasilkan satu dokumen utama, iaitu Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak ASEAN-GCC China.

“Di peringkat pegawai kanan, usaha sedang giat dijalankan untuk memuktamadkan rundingan berhubung ketiga-tiga dokumen ini,” katanya.

Prep-SOM merupakan mesyuarat penyelarasan utama yang diadakan sebelum Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) dan mesyuarat peringkat menteri atau sidang kemuncak. Mesyuarat ini penting untuk menyelaras segala butiran sebelum rundingan rasmi atau pengumuman dibuat.

Malaysia kini memainkan peranan aktif dalam memacu kerjasama strategik antara ASEAN dan rakan dialog luar, termasuk GCC dan China, sejajar dengan Dasar Luar Negeri yang mengutamakan hubungan pelbagai hala yang progresif dan inklusif.

Bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadualkan berlangsung, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang bakal diadakan buat julung kalinya, mencerminkan perkongsian ASEAN yang semakin meningkat dengan rantau-rantau penting lain.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan semasa lawatannya ke Arab Saudi pada Disember tahun lepas dipetik berkata Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China adalah untuk membentuk pakatan tiga hala yang berpengaruh dan membuka potensi besar untuk kerjasama pelbagai hala merentas sektor.

Beliau berkata ketiga-tiga blok itu memiliki kekuatan unik yang boleh dimanfaatkan menerusi kerjasama yang efektif.

GCC, blok serantau Teluk terdiri daripada enam negara anggota: Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Oman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan