Oleh D. Kuvineshwaren and Samantha Tan
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan (SOM) ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) berlangsung pada Jumaat dengan dua dokumen utama sedang disediakan bagi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua yang bakal berlangsung.
Setiausaha Rendah untuk Hal Ehwal Hubungan Dua Hala dan ASEAN, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Ma. Theresa P. Lazaro berkata mesyuarat itu turut membincangkan usaha memperdalam kerjasama antara dua rantau yang penting dan strategik itu.
“Dua dokumen sedang dirangka hasil daripada mesyuarat hari ini, iaitu dokumen mengenai hasil Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan satu deklarasi ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Kuwait, yang kini merupakan Pengerusi GCC, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Lazaro memberi bayangan bahawa ASEAN dan GCC bakal mengumumkan peluasan besar dalam kerjasama mereka semasa sidang kemuncak kedua itu.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC pertama telah diadakan di Riyadh, Arab Saudi pada Oktober 2023, yang mana para pemimpin meluluskan Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC (2024–2028), yang menjadi peristiwa penting dalam hubungan antara kedua-dua rantau.
GCC yang ditubuhkan pada 1981 dianggotai enam negara - Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) - bagi memperkukuh kerjasama politik dan ekonomi dalam kalangan negara Teluk.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua akan berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak sulung ASEAN-GCC-China pada 26 dan 27 Mei ini di ibu negara, di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.
Sidang Kemuncak serantau edisi 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN selepas memegang peranan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial